OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau terpaksa dibawa ke tempat selamat ketika polis menyuraikan protes pro Palestin di luar sebuah restoran di Vancouver di mana beliau sedang menjamu selera.
Sekumpulan kira-kira 250 penyokong pro Palestin mengibarkan bendera dan melaungkan slogan gencatan senjata dalam perang Israel-Palestin di kawasan Chinatown, kelmarin.
Polis dalam satu kenyataan berkata 100 pegawai `membantu mengawal dan menyuraikan orang ramai, manakala perdana menteri diiringi keluar dari restoran’.
Dua lelaki masing-masing ditahan kerana menghalang dan menyerang seorang pegawai yang ditumbuk di muka manakala matanya dicungkil.
Polis Vancouver, Sarjan Steve Addison berkata, penunjuk perasaan `bertindak menghalang lorong di belakang restoran sekali gus mencetuskan kebimbangan’.
Terdahulu, Trudeau turut diganggu di restoran lain milik chef selebriti, Vikram Vij.
Rakaman video oleh media tempatan menunjukkan segelintir penunjuk perasaan memasuki restoran Vij dan menjerit kepada perdana menteri untuk menuntut gencatan senjata di Gaza.
Selasa lalu, Trudeau berkata, pembunuhan `wanita, kanak-kanak, bayi’ dalam perang Israel-Palestin mesti dihentikan.
Kenyataan itu mencetuskan teguran keras daripada pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu.