BEIJING: Mahkamah Beijing hari ini memulakan perbicaraan tuntutan pampasan bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam penerbangan Malaysia Airlines MH370 hampir 10 tahun lalu.
Lapor saluran CCTV, lebih 40 keluarga memfailkan saman terhadap Malaysia Airlines, pengeluar pesawat Boeing, pembuat enjin Rolls Royce dan kumpulan insurans Allianz, kata penyiar negeri CCTV.
Menurut peguam, Zhang Qihuai yang dipetik CCTV, permintaan litigasi keluarga tertumpu pada pampasan dan mencari kebenaran di sebalik kehilangan penerbangan itu.
Hampir tidak ada kesan pesawat itu ditemui di zon pencarian Lautan Hindi seluas 120,000 kilometer persegi dengan hanya beberapa serpihan yang diambil.
Operasi diketuai Australia yang terbesar dalam sejarah penerbangan digantung pada Januari 2017.
Keluarga-keluarga itu turut mengeluarkan surat terbuka yang ditujukan kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, menggesa pencarian baharu pesawat yang hilang itu.
“Ahli keluarga kami berharap untuk mencari pesawat MH370 sendiri. Ahli keluarga sanggup melabur wang mereka sendiri atau bekerjasama dengan individu dan syarikat yang berkebolehan,” jelas surat itu.
Mereka juga meminta ‘komunikasi berkesan’ dengan kerajaan Malaysia untuk memulakan misi pencarian baharu itu.
Di luar mahkamah, ramai sanak saudara menitiskan air mata ketika menceritakan kisah orang tersayang mereka dengan beberapa orang memegang kertas tertulis ‘mulakan semula carian’ dan ‘terbuka, adil, tidak berat sebelah’.
“Secara peribadi, saya tidak kisah tentang pampasan kewangan.
“Apa yang saya mahukan ialah Malaysia Airlines memberi saya kebenaran. Apa yang berlaku kepada ahli keluarga kami? Apa yang saya mahu sekarang ialah mereka menyambung semula pencarian dan siasatan,” kata Bao Lanfang, 71, yang kehilangan tiga ahli keluarga dalam tragedi pesawat itu.
Kementerian pengangkutan Malaysia dan Malaysia Airlines kedua-duanya enggan mengulas mengenai pendengaran itu.
Tidak jelas tentang bidang kuasa mahkamah China untuk menguatkuasakan tuntutan pampasan terhadap defendan.
Menurut CCTV, setiap keluarga memfailkan pampasan sivil antara 10 juta yuan (RM6.5 juta) dan 80 juta yuan (RM52.5 juta), serta ganti rugi moral sebanyak 30 juta yuan (RM19.6 juta) hingga 40 juta yuan (RM26.2 juta)
Keluarga lebih 110 penumpang lain telah pun mencapai penyelesaian dengan defendan dan menerima antara 2.5 juta dan 3 juta yuan (RM1.6 dan 1.9 juta)
Salah seorang waris, Jiang Hui menulis di media sosial baru-baru ini bahawa perbicaraan mahkamah akan diteruskan sehingga pertengahan Disember.
Perbicaraan itu bagaimanapun tidak disenaraikan di laman web awam mahkamah.
Laporan akhir tragedi yang dikeluarkan pada 2018 menunjukkan kegagalan kawalan trafik udara dan mengatakan perjalanan pesawat itu diubah secara manual.
Bagaimanapun mereka gagal membuat sebarang kesimpulan yang kukuh, menyebabkan waris marah dan kecewa. – AFP