RIYADH: Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab akan memantau pelaksanaan siasatan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan menubuhkan dua unit pemantau khas undang-undang bagi mendokumentasikan jenayah Israel yang dilakukan di Semenanjung Gaza.
Unit itu kemudian akan menyediakan prosiding undang-undang mengenai semua pelanggaran yang dilakukan oleh Israel dan menyerahkan laporan mereka kepada Majlis Liga Arab di peringkat menteri-menteri luar dan majlis menteri-menteri luar OIC.
Laporan berkenaan perlu diserahkan dalam tempoh 15 hari selepas pembentukan unit itu.
Sidang kemuncak itu juga mengutuk tindakan memaksa hampir satu setengah juta rakyat Palestin berpindah dari utara ke selatan Semenanjung Gaza yang merupakan jenayah perang di bawah Konvensyen Geneva Keempat 1949 dan Protokol 1977.
Terdahulu, sidang kemuncak tergempar itu meluluskan ketetapan menuntut Israel serta-merta menamatkan keganasan di Semenanjung Gaza selain menolak tindakan melancarkan perang atas sebab mempertahankan diri atau bagi mewajarkannya atas apa jua alasan.
Lapor SPA, mesyuarat berkenaan berlangsung di Pusat Konvensyen Raja Abdulaziz di Riyadh, dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.
Sidang kemuncak itu juga menyeru negara anggota OIC dan Liga Arab untuk mengenakan tekanan diplomatik, politik dan undang-undang dan mengambil sebarang tindakan pencegahan untuk menghentikan jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh pihak penceroboh.
Para pemimpin menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengambil keputusan tegas bagi memaksa Israel menghentikan serangan dan melanggar undang-undang antarabangsa.
“Tidak mengambil sebarang tindakan dianggap sebagai bersubahat yang seakan membenarkan Israel untuk meneruskan serangan kejam yang membunuh orang tidak bersalah, kanak-kanak, warga emas dan wanita, serta menyebabkan Gaza hancur dan musnah,” menurut resolusi itu.
Selain itu, para pemimpin Islam juga menyeru semua negara untuk menghentikan eksport senjata dan peluru kepada pihak penceroboh yang digunakan untuk membunuh rakyat Palestin dan memusnahkan rumah, hospital, sekolah, masjid, gereja dan segala kemudahan yang ada.
Mereka juga menggesa pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyelesaikan siasatan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel di semua wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur.