MOSCOW: Seorang warga emas Russia yang tersenarai antara lelaki paling gemuk di dunia dilaporkan meninggal dunia di rumahnya hanya beberapa hari selepas dia berikrar untuk menurunkan berat badan.
Leonid Andreev, 60, yang dikatakan mempunyai berat badan menyamai tiga ekor anak gajah dilaporkan sukar bergerak dan terperangkap di rumahnya selama lebih lima tahun.
Warga emas seberat 279.42 kilogram (kg) itu ditemui mati di rumahnya di kampung Armizonskoye hanya sehari selepas dia memberitahu media tempatan tentang rancangannya memulakan diet baharu dengan hanya mengambil secawan sup untuk makan tengah hari serta keinginan berpindah ke apartment lain.
Tetapi pada 17 November lalu, Andreev disahkan meninggal dunia selepas dilaporkan mengalami serangan jantung.
Andreeve pernah berkahwin sebanyak dua kali namun sudah bercerai dan tidak mempunyai anak.
Masalah berat badan Andreev bermula selepas dia meninggalkan kerjaya dalam tentera dan terus meningkat mendadak tanpa henti sejak 10 tahun lalu.
Pertambahan berat badannya disebabkan oleh gangguan metabolik dan lima tahun lalu saiznya terlalu besar sehingga dia terpaksa berhenti menguruskan ladang miliknya.
Lelaki itu dilaporkan banyak menghabiskan masa berbaring di atas sofa sambil menonton televisyen sepanjang hari sementara jirannya membantu membersihkan serta menjaga rumahnya.-AGENSI