HOUSTON: Seorang lelaki dari Texas, Amerika Syarikat (AS) yang tersesat selama lebih sehari semasa mendaki melalui sebuah gurun taman negara, mengakui terpaksa minum dari lopak air dan makan berudu untuk kekal hidup.
Lapor The Guardian, Jeff Hahn berkata, dia mengalami keletihan akibat kepanasan ketika mendaki bukit di bawah terik matahari pada pertengahan Jun lalu.
Jeff bernasib baik terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius sepertimana dihadapi oleh ramai individu dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, ketika krisis iklim memburukkan lagi musim panas AS yang memecah rekod.
Sebelum ini, seorang remaja lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas jatuh sakit ketika mendaki pada suhu mencecah 48.3 darjah Celsius di sebuah taman negara di Texas.
Malah, pada bulan lalu, seorang warga emas berusia 71 tahun ditemukan maut di sebelah anjingnya yang masih hidup selepas dikatakan hilang semasa mendaki gunung Colorado.
Menurut Jeff, dia menganggap `tiga keajaiban’ membantu kelangsungan hidupnya selepas mengalami kekejangan di kaki dan seluruh badan sehingga menyebabkannya jatuh ketika mendaki taman negara Big Bend Ranch bersama anak perempuannya, Harper.
“Saya mula-mula mencari perlindungan di sebuah pondok perlombongan lama dan menjumpai `keajaiban pertama’ iaitu dua botol air yang mana masih tertutup namun lapisan luarnya diselubungi debu. Jadi saya anggap ia masih selamat untuk diminum,” katanya.
Jeff kemudian cuba meredah padang pasir selepas matahari terbenam tetapi dia tersandung pada batu dan patah pergelangan tangannya.
“Saya jatuh terbaring di sebelah batu besar dan menjumpai air. Dalam keadaan terlentang, saya cuba menggunakan penyedut dibawanya untuk minum lopak air dari batu itu.
“Selepas 20 minit berehat, saya cuba berdiri dan meneruskan perjalanannya sehingga keesokan harinya,” katanya.
Pada masa itu, pasukan penyelamat berusaha mencari Jeff dengan bantuan pesawat dan helikopter.
Menurut Jeff, semasa perjalanannya, dia menemukan sebuah kolam dipenuhi berudu yang disifatkannya sebagai `keajaiban ketiga’.
“Ketika itu, saya berasa sangat lapar, jadi saya menanggalkan topi lalu mencedok beberapa berudu dalam kolam lalu memakannya, rasanya tidaklah teruk sangat,” katanya.
Sementara itu, Jeff mengakui masih ingat suhu di taman negara itu mencecah 41.7 darjah Celsius ketika kejadian.
“Tiada rumput dan pokok, anda terdedah kepada cuaca panas terik, malah tiada tempat ketara untuk berteduh,” kata Jeff dalam laporan penerbitan.
Talian telefon bimbit terganggu dan kedua-dua individu itu tidak pasti sejauh mana perjalanan tersebut, jadi mereka memutuskan Harper untuk meneruskan pendakian bagi mendapatkan bantuan.