GAZA: Jawdat Sami al-Madhoun hampir tidak percaya apabila melihat pintu Hospital Syuhada Al-Aqsa di hadapan matanya.
Pembantu doktor berusia 26 tahun itu berjaya meninggalkan Hospital al-Shifa yang terkepung di Gaza City dan berjalan sejauh 16 kilometer ke Deir el-Balah.
BERDOA UNTUK MATI
Jawdat mengambil keputusan meninggalkan hospital itu selepas menghabiskan 25 hari sebagai sukarelawan di jabatan kecemasan dan bergelut bersama kakitangan lain untuk membantu mereka yang cedera sebaik mungkin walaupun tanpa ubat dan bekalan paling asas.
Malah, berjalan di antara bangunan perubatan di perkarangan itu juga umpama menempah maut kerana penembak tepat Israel menyasarkan sesiapa yang bergerak.
Jawdat berkata, dia bertugas menerima pesakit dan membantu membalut luka mereka.
Walaupun bukan jururawat terlatih sepenuhnya, tetapi Jawdat mempelajarinya selama kira-kira satu setengah tahun dan bertekad mahu melakukan sesuatu untuk membantu penduduk.
“Suatu hari, empat gadis kecil masuk, paling tua berumur kira-kira 13 tahun tetapi hanya seorang daripada mereka cedera. Mereka datang bersama mayat ayah, ibu, dan abang mereka. Kami melakukan apa yang termampu untuk mengebumikan mayat-mayat ini.
“Gadis kecil yang cedera memandang saya dan meminta saya membiarkan dia mati bersama ibu bapa dan abangnya. Dia merintih tidak tahu bagaimana untuk hidup tanpa kehadiran mereka di sisi.
“Pada hari lain, kami menerima seorang budak lelaki berusia 12 tahun, cedera parah dalam serangan yang membunuh keluarganya. Setiap kali dia melihat saya, dia akan bertanya mampukah saya memulihkannya atau biarkan saja dia mati bersama keluarganya,” ujarnya.
Cerita Jawdat, para doktor bekerja keras malah sanggup bersengkang mata selama tiga hingga empat hari berturut-turut tanpa rehat untuk melakukan apa terdaya namun ada kalanya mereka terpaksa ‘reda’ dengan apa yang ada di hadapan mereka.
“Suatu hari, saya terkejut apabila mendapati rakan saya cedera parah ketika serangan Israel di pekarangan hospital. Saya bertanya kepada doktor bagaimana keadaannya, dan mereka berkata dia mengalami mati otak, tetapi badannya masih bernafas. Doktor hanya meminta saya doakan dia ‘berehat’ dengan tenang.
“Selepas tiga hari rakan saya itu akhirnya meninggal dunia. Tengkoraknya patah di dua tempat, dan dia mampu diselamatkan jika pembedahan segera dilakukan.
“Apa yang boleh kami lakukan ialah membersihkan luka pesakit. Sebahagian daripada mereka yang meninggal dunia sebenarnya hanya memerlukan pembedahan kecil atau sedikit oksigen,” katanya sambil menyapu air mata.
TERPISAH DENGAN KELUARGA
Seperti banyak keluarga di Gaza, Jawdat dan isterinya, May memutuskan untuk tinggal di lokasi yang berasingan dengan harapan seramai mungkin penduduk akan terselamat daripada pengeboman Israel dan bersatu semula selepas perang reda.
May, 23, berada di Gaza City tetapi Jawdat tidak dapat menghubunginya kerana kereta kebal, penembak tepat dan letupan rambang sentiasa menanti di jalanan.
Bercakap tentang May, ketakutan Jawdat semakin menguasai dirinya dan dia menangis lagi apabila memikirkan jika dia tidak lagi berpeluang bertemu isterinya itu selepas tidak mendengar khabar lebih tiga hari.
Jawdat berjaya meyakinkan ibunya untuk meninggalkan Hospital al-Shifa namun menempuh pelbagai halangan sepanjang perjalanan.
“Isnin lalu, kami menerima enam kes kecederaan parah di hospital kerana ditembak. Tentera Israel awalnya memberitahu penduduk dibenarkan meninggalkan tempat mereka. Tetapi sebaik sahaja bergerak, mereka terus ditembak,” kata Jawdat.
Pada satu ketika, Jawdat dan beberapa yang lain dihalang oleh tentera Israel dan mereka dengan kejam membuli penduduk yang mahu menyelamatkan diri
“Zionis menahan kira-kira 20 lelaki dan membogelkan, memukul dan memalukan mereka, kemudian membebaskan mereka. Ia seperti apabila tentera bosan, mereka akan memilih seseorang untuk dibuli dan diaibkan,” katanya.
Tetapi itu bukanlah situasi terburuk yang dilihat Jawdat di sepanjang perjalanannya.
Dia berkata dia terpaksa berlari melepasi mayat, kaki seorang gadis kecil yang putus dan seorang wanita berusia 50-an yang masih lengkap memakai pakaian solat terbaring kaku di atas tanah.
Jawdat berjaya sampai ke Deir el-Balah tetapi dia tidak tahu nasib puluhan lagi yang melarikan diri daripada Hospital al-Shifa dan kini hanya mampu berdoa moga dipertemukan kembali dengan isterinya.