LONDON: Lebih 300,000 orang menghadiri perhimpunan pro-Palestin di London ketika polis menahan berpuluh-puluh penunjuk perasaan kerana cuba menentang perarakan tersebut.
Ratusan anggota polis dikerahkan di Hyde Park Corner di tengah London ketika penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘bebas, Palestin bebas’ dan ‘gencatan senjata sekarang’.
Protes pro-Palestin berakhir di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Vauxhall selepas perarakan panjang merentasi pusat London yang dilakukan pada waktu sama acara peringatan Hari Gencatan Senjata di United Kingdom (UK).
Pergelutan antara penunjuk perasaan balas dan polis berlaku di beberapa lokasi, termasuk di Pimlico, Chinatown dan berhampiran tugu peringatan perang Cenotaph.
Seramai 126 orang ditahan, termasuk ahli kumpulan sayap kanan dan tangkapan turut dibuat selepas beberapa bunga api yang dipasang terkena muka pegawai polis.
Perdana Menteri, Rishi Sunak mengecam apa yang disifatkannya sebagai adegan yang tidak boleh diterima yang sama sekali tidak menghormati pihak berkuasa.
Beliau juga mengkritik tanda pro-Hamas dan nyanyian antisemitik dalam kalangan penunjuk perasaan.-AGENSI