Kubur Gaza penuh, penduduk kebumikan mangsa korban di ladang buah

Kubur Gaza penuh, penduduk kebumikan mangsa korban di ladang buah

SEJUMLAH kubur disediakan bagi mengebumikan penduduk yang terbunuh akibat bedilan udara Zionis di kawasan perkuburan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENANJUNG GAZA: Sebelum melarikan diri dari utara Gaza, Mahmud al-Masri perlu mengebumikan tiga adik-beradiknya dan lima anak mereka yang terkorban akibat terkena bedilan udara tentera Zionis.

Lebih menyedihkan, Mahmud perlu mengebumikan mereka di kawasan berhampiran ladang buah sitrus.

Dengan kawasan rumahnya kini bertukar menjadi zon perang, lelaki berusia 60 tahun itu tidak mempunyai pilihan selain menggali liang lahad di kawasan yang tidak sepatutnya dan mengebumikan semua insan tersayang yang terkorban akibat kekejaman Israel.

“Kami terpaksa mengebumikan mereka di ladang buah kerana tanah perkuburan terletak di kawasan sempadan yang kini penuh dengan tentera Israel.

“Saya akan mengalihkan kubur mereka ke kawasan yang sepatutnya selepas perang berakhir,” katanya.

Mahmud yang kini berlindung di sebuah hospital di selatan Gaza sebelum ini tinggal di rumah dua tingkat di Beit Hanoun di timur laut Gaza, iaitu tidak jauh dari kawasan pagar sempadan dengan Israel.

Mahmud pada mulanya tidak mahu mengendahkan amaran dari Zionis yang menyuruh mereka melarikan diri ke selatan selepas perang semakin meruncing.

Namun, selepas dua minggu Zionis membedil kawasan utara Gaza, Mahmud dan keluarganya mengubah fikiran untuk berpindah ke selatan.

Kini, sudah lebih empat minggu perang berlangsung dengan lebih 10,500 orang maut di Gaza.

“Saya masih ingat bagaimana saya mengebumikan ahli keluarga yang terkorban secara tergesa-gesa kerana bimbang Israel lancarkan bom bila-bila masa.

“Saya meletakkan bata di atas tanah bagi menanda kubur mereka,” ujar Mahmud.

Namun, lelaki itu memaklumkan, tentera Israel sudah pun meratakan kawasan tersebut dengan jentera berat.

“saya tidak tahu jika kubur mereka masih ada atau tidak, semuanya Zionis rampas, kubur pun mereka musnahkan,” katanya.

Dalam pada itu, jumlah kematian yang semakin meningkat hari demi hari menjadikan kawasan tanah perkuburan semakin sesak, selain ada yang tidak boleh diakses kerana musnah dibom Zionis.

Sehubungan itu, ada keluarga yang membuat keputusan menggali kubur besar di padang bola untuk mengebumikan semua penduduk yang terkorban.

Padang bola itu sebelum ini pernah digunakan pasukan bola sepak kebangsaan Palestin untuk berlatih. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya