LONDON: United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan China memeterai satu deklarasi yang bersetuju kecerdasan buatan (AI) mampu mendatangkan potensi risiko malapetaka kepada manusia.
Perjanjian dimeterai itu merupakan deklarasi antarabangsa pertama untuk menangani teknologi yang pesat membangun.
Lapor The Guardian, sebanyak 28 kerajaan menandatangani deklarasi Bletchley pada hari pertama sidang kemuncak keselamatan AI yang dianjurkan oleh Britain.
Kesemua negara itu bersetuju bekerjasama dalam bidang penyelidikan AI, di tengah-tengah kebimbangan AS dan UK bersaing untuk mendahului dalam membina peraturan baharu.
Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak menyambut baik deklarasi itu dengan menyifatkannya sebagai `luar biasa’.
“Sudah tentu, tiada apa yang lebih transformatif daripada kemajuan teknologi seperti AI untuk masa depan anak-anak kita.
“Bagaimanapun, kita perlu memastikan AI berkembang dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab, serta dapat menangani risiko dicetuskannya dalam proses itu,” katanya ketika berucap menjelang sidang kemuncak itu.
Sementara itu, Menteri Teknologi UK, Michelle Donelan berkata, buat pertama kali beberapa negara bersetuju bahawa risiko Frontier AI perlu dinilai secara kolektif.
Frontier AI merujuk kepada sistem paling canggih yang mana para pakar percaya boleh menjadi lebih bijak berbanding individu ketika melakukan pelbagai kerja.
Awal minggu ini, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden mengeluarkan perintah yang mengarahkan syarikat AI seperti OpenAI dan Google berkongsi hasil ujian keselamatan firma itu dengan kerajaan sebelum mengeluarkan model AI.