Koridor hospital Gaza dipenuhi mangsa nazak, pembedahan dilakukan tanpa bius - Utusan Malaysia

Koridor hospital Gaza dipenuhi mangsa nazak, pembedahan dilakukan tanpa bius

PASUKAN perubatan membantu seorang kanak-kanak yang cedera di hospital di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran sistem penjagaan kesihatan di Semenanjung Gaza terjejas teruk, ekoran serangan bertali arus dilancarkan Israel, apabila separuh daripada 36 hospital di wilayah terbabit tidak lagi berfungsi.

Bercakap pada Majlis Keselamatan, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom, mendedahkan koridor hospital penuh dengan mangsa cedera dan hampir mati, bilik mayat terlalu sesak dan pembedahan dilakukan tanpa ubat bius.

Selain itu, beliau berkata, kehilangan tempat tinggal memaksa puluhan ribu orang menjadikan hospital sebagai tempat berlindung.

“Sistem kesihatan semakin terjejas. Entah bagaimana ia terus mampu berfungsi bagi menyelamatkan nyawa,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Adhanom berkata, lebih 250 serangan disasarkan ke atas perkhidmatan penjagaan kesihatan antaranya hospital, klinik, ambulans dan pesakit di Gaza serta Tebing Barat, termasuk 25 serangan sama di Israel sejak konflik meletus pada 7 Oktober lalu.

“Langkah terbaik untuk menyokong petugas kesihatan dan orang yang berkhidmat dengan memberi mereka alat yang mereka perlukan untuk melaksanakan tugas, seperti ubat-ubatan, peralatan perubatan dan bahan api untuk generator hospital.

“Kita juga menyeru peningkatan bantuan yang disalurkan melalui Rafah menyeberangi Mesir dan mengulangi gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk gencatan senjata,” katanya.

Sementara itu, Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Marwan Jilani, sewaktu berucap kepada Majlis Keselamatan menerusi sidang video, menggesa anggota majlis berkenaan berusaha sedaya mungkin untuk mengelak lebih banyak kematian dan penderitaan selanjutnya.

Tegasnya, situasi yang semakin memburuk di Hospital Al-Quds di Gaza, termasuk ahlinya turut menjadi sasaran apabila ditembak penembak tepat Israel.

Majlis itu berbelah bahagi mengenai peperangan dan gagal mengeluarkan resolusi mengenainya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya