WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kelmarin memaklumkan tiada sebarang perjanjian dicapai antara Israel dengan Hamas untuk melakukan gencatan senjata dan membebaskan tebusan yang ditahan.
White House menyatakan pihaknya kini masih berunding untuk mencapai persetujuan tersebut dan perlu mengambil kira pelbagai aspek.
“Kami masih belum mencapai apa-apa persetujuan setakat ini dan kami akan meneruskan perbincangan mengenainya,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan White House, Adrienne Watson menerusi platform X.
Kenyataan White House itu secara tidak langsung membantah laporan yang didedahkan oleh Washington Post mengenai persetujuan gencatan senjata selama lima hari oleh Israel dan Hamas.
Akhbar itu sebelum ini melaporkan persetujuan setebal enam muka surat itu menunjukkan sejumlah tebusan wanita dan kanak-kanak akan dibebaskan beserta gencatan senjata.
Tidak menyatakan sumber, akhbar itu mendedahkan Hamas dan Palestin akan menghentikan serangan selama lima hari dan tebusan akan dibebaskan secara berperingkat.
Israel sebelum ini berikrar untuk melenyapkan Hamas susulan serangan pada 7 oktober lalu.
Serangan bertubi-tubi tentera Zionis menyaksikan lebih 12,000 penduduk Gaza terbunuh dengan lebih 5,000 daripadanya adalah kanak-kanak.
Penasihat utama Presiden AS, Joe Biden juga memberitahu, mungkin serangan Israel dapat dihentikan jika Hamas membebaskan semua tebusan yang ditahan.
“Bantuan kemanusiaan, bantuan bahan api boleh dibawa masuk dengan segera jika tebusan dibebaskan oleh Hamas,” kata Brett McGurk.