BEIJING: Sebuah rakaman menunjukkan orang ramai memakai pelitup muka berpusu-pusu di dalam sebuah hospital China muncul di tengah-tengah kebimbangan mengenai wabak pneumonia misteri yang melanda negara itu.
Media tempatan turut melaporkan, sejak minggu lalu, hospital di Beijing dan kawasan timur laut di Liaoning dipenuhi kanak-kanak yang sakit dengan gejala luar biasa termasuk keradangan pada paru-paru dan demam panas tetapi tiada batuk.
Perkara sama turut dilaporkan Media Taiwan FTV News dengan ramai golongan ibu bapa mula mempersoalkan sama ada pihak berkuasa cuba menutup penularan wabak itu.
Bagaimanapun, kementerian kesihatan China mendakwa ia boleh mengatasi lonjakan penyakit yang mencetuskan panik global apabila berita mengenai situasi itu muncul minggu lalu.
Kebimbangan itu menyebabkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam campur tangan awam yang jarang berlaku, secara rasmi meminta maklumat lanjut daripada Beijing mengenai jangkitan itu.
Pengulas menekankan gelombang penyakit itu sangat mirip dengan laporan yang muncul sejurus sebelum Covid-19 yang didakwa ditutup oleh China.
Dalam satu kenyataan lalu Ahad lalu, kementerian kesihatan negara itu mendakwa lonjakan kes itu disebabkan oleh selesema dan patogen lain yang diketahui.
Jurucakap Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan berkata, kumpulan jangkitan pernafasan baru-baru ini disebabkan oleh pertindihan virus biasa seperti selesema dan RSV, serta bakteria seperti mycoplasma pneumoniae.
Jelasnya, kementerian sudah menyeru pihak berkuasa tempatan untuk membuka lebih banyak klinik dan menggalakkan pengambilan vaksin dalam kalangan kanak-kanak serta warga emas.