BEIJING: Sebuah premis di wilayah Shandong China mendapat perhatian ramai kerana menawarkan pasangan yang bercerai peluang untuk memusnahkan gambar perkahwinan mereka dengan cara lebih murah dan berkesan.
Mengoyakkan gambar perkahwinan selepas mahligai dibina berkecai tidak semudah yang disangka bagi pasangan di China.
Ini kerana menjadi kebiasaan bagi rakyat negara itu untuk mengabadikan gambar perkahwinan mereka pada kanvas akrilik yang tebal dan sangat tahan terhadap api.
Keadaan itu menyebabkan pasangan yang bercerai hanya boleh membuang gambar perkahwinan mereka ke dalam tong sampah, namun ramai enggan berbuat demikian kerana bimbang mereka mungkin dikenali orang tertentu.
Justeru itu, anak muda dikenali sebagai Liu menubuhkan syarikat yang menyediakan khidmat khusus untuk mencari gambar perkahwinan dan membantu pelanggan melupakan masa lalu sambil melindungi privasi mereka.
“Foto perkahwinan termasuk dalam kategori item privasi peribadi dan saya percaya terdapat permintaan yang besar untuk perkhidmatan saya. Kami kini sudah menerima pesanan dari setiap wilayah dan perbandaran di seluruh China, kecuali Tibet,” katanya kepada Bailu Video.
Syarikat Liu menawarkan beberapa pilihan harga hingga 100 yuan (RM64.91) bergantung pada saiz gambar yang perlu dimusnahkan dan setelah persetujuan dicapai, pelanggan menghantar foto tersebut ke premis operasinya di Langfang.
Kakitangan akan menutup gambar dengan cat semburan untuk memastikan wajah pelanggan tidak dapat dilihat dan kemudian memasukkannya ke dalam mesin carik yang berkuasa.
Keseluruhan proses dirakam dan rakaman dihantar kepada pelanggan sebagai bukti.