Ketua hakim Indonesia langgar etika isu had umur calon Pemilu

Ketua hakim Indonesia langgar etika isu had umur calon Pemilu

KETUA Suruhanjaya Pilihan Raya Hasyim Asy’ari (tengah) bergambar bersama Prabowo Subianto (kiri) dan Gibran Rakabuming Raka (kanan) ketika pendaftaran Pemilu 2024 di Jakarta.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Panel kehakiman Indonesia mendapati Ketua Hakim Negara bersalah berikutan konflik kepentingan dalam keputusan bulan lalu yang membenarkan anak Presiden, Joko Widodo, (Jokowi) bertanding jawatan naib presiden.

Anwar Usman yang juga abang ipar Jokowi, diperintahkan berundur sebagai Hakim Kanan Mahkamah atas kegagalannya menarik diri daripada kes di mana keputusannya menguntungkan anak saudaranya, Gibran Rakabuming Raka untuk bertanding jawatan Naib Presiden bersama Menteri Pertahanan Prabowo Subianto.

“Anwar terbukti  melanggar kod etika hakim khususnya prinsip berkecuali dan integriti kerana beliau tidak menarik diri. Beliau sengaja membuka ruang untuk campur tangan daripada pihak luar dan dengan itu melanggar prinsip kebebasan,” jelas panel itu.

Panel etika yang tidak boleh mengubah keputusan kes itu berkata, Anwar boleh kekal sebagai salah seorang daripada sembilan hakim mahkamah tetapi tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam mana-mana kes pilihan raya apabila beliau boleh mempunyai konflik kepentingan.

Panel itu diminta menyiasat kelakuan hakim di tengah-tengah bantahan awam selepas mereka memutuskan syarat umur minimum 40 tahun tidak perlu dikenakan kepada calon yang pernah memegang jawatan dalam pilihan raya sebelum ini.

Keputusan itu dibuat beberapa hari sebelum permulaan pendaftaran calon Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024, menyebabkan kekecohan besar di Indonesia dan mendorong dakwaan presiden mempengaruhi keputusan mahkamah.

Bekas ketua hakim negara, Jimly Asshiddiqie yang mengetuai panel tiga anggota itu berkata, Anwar tidak lagi layak untuk mencalonkan dirinya atau dicalonkan oleh hakim lain untuk mempengerusikan mahkamah sehingga penggalnya tamat.

Pengganti Anwar sebagai Ketua Hakim Negara akan dipilih oleh sembilan anggota Mahkamah Perlembagaan dalam tempoh dua hari akan datang.

Bercakap selepas membaca keputusan majlis itu, Jimly berkata, pihaknya memutuskan untuk tidak memecat Anwar sebagai hakim mahkamah kerana ia memerlukan penubuhan panel rayuan dan mewujudkan ketidaktentuan menjelang pilihan raya di negara itu.

Jokowi bakal menamatkan penggal kedua dan terakhirnya namun beberapa seteru politiknya mendakwa beliau secara sengap-senyap cuba mengekalkan pengaruhnya selepas meninggalkan jawatan Presiden.-AGENSI/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya