NEW YORK: Sekurang-kurangnya dua orang maut selepas sebuah kereta meletup lalu terbakar di pusat pemeriksaan Amerika Syarikat (AS)-Kanada berhampiran air terjun terkenal dunia, Niagara Falls.
Insiden itu mengakibatkan penutupan sempadan dan mencetuskan amaran keselamatan secara besar-besaran menjelang malam sambutan perayaan Thanksgiving.
Gabenor New York, Kathy Hochul mengesahkan dua orang maut dalam letupan di pos pemeriksaan kira-kira 640 kilometer (km) barat laut New York City.
Malah, Hochul juga memaklumkan tiada bukti menunjukkan insiden itu adalah `serangan pengganas’.
“Pada masa ini, tiada bukti menunjukkan ia merupakan aktiviti keganasan. Ia adalah kejadian ngeri, nahas, letupan namun ketika ini tiada kaitan dengan serangan pengganas,” katanya dalam satu taklimat.
Ketika ini, identiti kedua-dua mangsa masih belum diketahui namun Hochul menjangkakan kenderaan mereka mungkin datang dari arah barat negeri New York.
Beberapa saksi mendakwa melihat sebuah kereta bergerak laju sebelum merempuh penghadang pos pemeriksaan dan meletup lalu terbakar.
Letupan itu berlaku di persimpangan utama Rainbow Bridge berhampiran Niagara Falls, dengan kereta musnah teruk dan terbakar.
Selain itu, gambar tular dalam media sosial menunjukkan jalan masuk ke persimpangan itu dipenuhi dengan anggota kecemasan dan kenderaan.
White House memaklumkan Presiden AS, Joe Biden sudah diberi taklimat dan sedang mengikuti perkembangan insiden.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pula memaklumkan kepada Parlimen bahawa ia merupakan situasi yang serius. – AFP