NEW YORK: Sebuah karya agung Pablo Picasso berjudul Femme a la montre atau Woman with a Watch berjaya dijual pada harga AS$139.3 juta (RM653.1 juta) dalam acara lelongan anjuran Sotheby’s di New York.
Karya itu mencatatkan harga jualan kedua tertinggi yang pernah diperoleh untuk artis Sepanyol itu.
Menurut agensi lelongan, Sotheby’s, lukisan berasal dari tahun 1932 menggambarkan seorang daripada rakan artis itu iaitu pelukis dari Perancis, Marie-Therese Walter.
Malah, jelas agensi itu, lukisan tersebut dianggarkan bernilai lebih AS$120 juta (RM562.6 juta) sebelum dibawa ke acara lelongan itu.
“Lukisan Femme a la montre merupakan sebahagian jualan istimewa Sotheby’s minggu ini bagi koleksi penaung seni New York Emily Fisher Landau yang meninggal dunia pada usia 102 tahun pada tahun ini,” jelas agensi itu.
Ketua pusat seni impresionis dan moden, Julian Dawes menyifatkan lukisan Picasso itu sebagai `sebuah karya agung secara keseluruhannya’.
“Dilukis pada tahun 1932, karya itu penuh dengan kegembiraan dan pada masa sama mempertimbangkan semua aspek dan disiapkan sepenuhnya,” katanya.
Dilaporkan, satu lagi karya Picasso berasal dari 1932 pernah dijual pada harga AS$106 juta (RM497 juta) pada tahun 2010.
Rekod penjualan karya Picasso merupakan lukisan berjudul The Women of Algiers (Version O)’, lukisan minyak dari tahun 1955 yang berjaya dijual pada harga AS$179.4 juta (RM841.1 juta).
Selepas lukisan itu dijual di Christie’s New York pada 2015, ia juga mencatatkan rekod jualan tertinggi bagi sebarang karya dijual dalam acara lelongan itu. – AFP