BEITUNIA: Percikan bunga api mewarnai langit bumi Palestin malam kelmarin apabila orang ramai meraikan pembebasan tahanan wanita dan kanak-kanak yang dipenjara di Israel.
Pembebaskan itu ditukarkan dengan kumpulan pejuang Hamas membebaskan sejumlah tebusan selepas persetujuan gencatan senjata selama empat hari bermula.
Orang ramai di Tebing Barat bersorak kegembiraan sambil mengibarkan bendera Palestin dan Hamas.
“Saya berasa amat amat gembira dan bersyukur dengan pembebasan ini, namun ia dibalas dengan kematian belasan ribu syuhada di Gaza.
“Saya habiskan masa remaja saya di dalam penjara, jauh dari ibu dan ayah serta pelukan mereka,” kata seorang daripada tahanan Palestin yang dibebaskan selepas dipenjara lapan tahun, Marah Bakir.
Sebanyak 39 tahanan Palestin dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel selepas Hamas membebaskan 24 tebusan termasuk 13 warga Israel yang ditahan di Gaza.
Seorang lagi tahanan Palestin, Hanan al-Barghouti, 58, yang dibebaskan selepas dipenjara dua bulan memuji Hamas dan usaha mereka melindungi rakyat Palestin di Gaza.
“Insya Allah jasa dan sumbangan mereka akan dibalas oleh Allah SWT. Jika kerana bukan Hamas, kami (tahanan Palestin) mungkin tidak akan dapat lihat dunia luar selamanya.
“Kami berdepan detik buruk berada di dalam penjara Israel, apa sahaja yang kami tidak lalui? Semuanya kami sudah rasa,” ujarnya.
SEPERTI ‘MALAPETAKA’
Dalam pada itu, seorang tahanan Palestin berusia 17 tahun yang dibebaskan menyifatkan keadaan penjara Israel sebagai ‘malapetaka’.
Laith Othman berkata, kebanyakan banduan dibiarkan kelaparan dan tidak dibenarkan meninggalkan sel mereka.
“Keadaan di dalam (penjara Israel) sangat sukar, saya tidak dapat menyatakan betapa sukarnya situasi itu.
“Kami tidak dibenarkan keluar dari sel kami, tidak ada makanan yang enak, tidak ada makanan, tidak ada apa-apa, kami kelaparan,” katanya.
MULAKAN HIDUP BAHARU
Sementara itu, Marah menyatakan dia tidak sabar untuk memulakan hidup baharu selepas dibebaskan dari penjara.
Katanya, biarpun Israel terus menindas penduduk Palestin, situasi itu ‘lebih baik’ daripada ditahan dalam penjara dan berjauhan dengan keluarga,” katanya. – AFP