'Kami nak lari ke mana lagi? Semua tempat di Gaza dibom'

‘Kami nak lari ke mana lagi? Semua tempat di Gaza dibom’

SEORANG lelaki bermain seruling untuk menghiburkan kanak-kanak, di tengah-tengah runtuhan rumah yang musnah di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ribuan penduduk Gaza yang dikepung tentera Israel terutama di utara wilayah itu mengakui semakin buntu dan lelah menjadi pelarian di negara sendiri.

Malah penduduk Palestin sudah tidak tahu ke mana arah yang selamat untuk dituju ketika rejim zionis mengumumkan akan menghentikan sejenak peperangan, bagi memberi laluan penduduk berpindah.

PELARIAN DI TANAH AIR SENDIRI

Beribu-ribu rakyat Palestin dilaporkan mencari perlindungan di hospital Al Shifa di Gaza City walaupun Israel mengeluarkan perintah untuk mengosongkan kawasan yang sudah dikepungnya itu.

Ramai memilih berteduh di dalam khemah di kawasan hospital dan mendakwa sudah tidak mempunyai tempat lain untuk pergi, malah ada yang masih enggan meninggalkan kediaman kerana merasakan tidak wajar untuk keluar atau diusir dari tanah air mereka sendiri.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata, Israel sekali lagi memberitahu penduduk di utara untuk bergerak ke selatan dan serangan di sekitar jalan utama masih berterusan, membahayakan mangsa yang dipindahkan.

“Ketika menyeberang ke Wadi di selatan bersama keluarga, kami melihat ratusan mayat reput, puluhan keluarga menaiki kereta dan mereka semuanya orang awam seperti kami, bukan kereta tentera atau kumpulan pejuang,” kata Khaled Abu Issa.

Seorang lagi penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, dia terpaksa memilih untuk berpindah demi keselamatan isteri dan enam anaknya.

“Kami perlu memegang kad pengenalan di tangan dan mengangkatnya semasa melepasi kereta kebal Israel dan kemudian berjalan beberapa kilometer lagi untuk mendapatkan bantuan pengangkutan,” katanya.

Di Khan Yunis, bandar utama di selatan Gaza, penduduk dilihat mengutip runtuhan dan serpihan bangunan yang musnah akibat serangan udara Israel dengan harapan dapat mencari mangsa yang terselamat.

Ketegangan juga memuncak di sekitar sempadan apabila kumpulan Hezbollah di Lubnan mengakui melepaskan peluru berpandu ke arah Israel dan kemudian didakwa menerima bertindak balas dengan tembakan artileri.

Lebih 18 rakyat Palestin turut terbunuh di bandar Jenin dan kem pelarian di Tebing Barat yang diduduki semalam apabila tentera Israel meningkatkan serbuan kononnya untuk menentang keganasan.

HANYA EMPAT JAM ‘WAKTU REHAT’ SERANGAN

Semalam Israel bersetuju untuk menghentikan operasi ketenteraan di bahagian utara Gaza selama empat jam sehari, meningkatkan harapan penangguhan pertempuran yang sudah membunuh beribu-ribu orang dan mencetuskan kebimbangan konflik serantau.

Israel berkata, pengumuman tentang ‘tempoh pengecualian serangan’ itu akan dibuat tiga jam sebelum perkara berkenaan dilakukan.

Menurut jurucakap Keselamatan Negara White House, John Kirby, pause atau ‘waktu rehat’ yang diberikan itu membolehkan orang ramai melarikan diri di sepanjang dua koridor kemanusiaan selain digunakan untuk pembebasan tebusan.

AS mendakwa usaha itu merupakan langkah pertama yang penting selepas negara berkenaan menolak gencatan senjata atas alasan tidak mahu memberikan sebarang kelebihan kepada Hamas.

Tetapi apabila malam semakin hampir, tiada laporan segera mengenai pertempuran yang reda di antara bangunan yang musnah di utara Semenanjung Gaza.

Tidak ada juga pengesahan langsung daripada Israel, yang hanya bercakap secara umum tentang langkah-langkah sesuai untuk melaksanakan peraturan itu.

“Kami sedang menjalankan langkah-langkah setempat dan tepat untuk membolehkan orang awam Palestin keluar dari Gaza City ke arah selatan, supaya kami tidak membahayakan mereka.

“Perkara-perkara ini tidak menjejaskan pertempuran perang,” kata Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.

Tentera Israel mengepung Gaza City sepenuhnya dalam sejak beberapa hari lalu dan mendakwa membenarkan orang awam memasuki laluan selamat di sepanjang jalan utama ke selatan selama tiga atau empat jam setiap hari.

“Tidak akan ada gencatan senjata penuh buat masa ini.

“Kami tidak akan berhenti berjuang selagi tebusan kami berada di Gaza dan selagi kami belum menyelesaikan misi kami, iaitu menjatuhkan Hamas dan menghapuskan keupayaan ketenteraan serta tadbir urusnya,” kata Gallant.

Di Paris, pegawai dari kira-kira 80 negara dan organisasi bermesyuarat untuk menyelaraskan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mencari jalan membantu orang awam yang cedera melarikan diri dari kepungan.

“Tanpa gencatan senjata serta usaha untuk menghentikan kepungan, pengeboman dan peperangan yang tidak wajar ini, korban nyawa manusia pasti akan berterusan,” kata, Setiausaha Agung Majlis Pelarian Norway, Jan Egeland.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya