LONDON: Pegawai Pasukan Pertahanan Israel (IDF) diasak oleh wartawan veteran CNN, Wolf Blitzer ketika wawancara mengenai serangan udara ke atas kem pelarian di Gaza yang mengorbankan lebih 200 nyawa minggu ini.
Pegawai IDF menegaskan serangan kem pelarian terbesar Gaza di Jabalia adalah wajar kerana objektifnya untuk menghapuskan Komander Batalion Hamas, Ibrahim Biari.
Blitzer kemudian mendesak jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Richard Hecht untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang keputusan meneruskan serangan itu, walaupun mengetahui nyawa ramai orang awam di kawasan berkenaan berada dalam bahaya.
“Tetapi walaupun komander Hamas itu berada di sana di tengah-tengah semua pelarian Palestin itu, Israel tetap meneruskan dan menjatuhkan bom di sana?
“Cuba membunuh komander Hamas, walaupun mengetahui bahawa ramai orang awam yang tidak bersalah, lelaki, wanita dan kanak-kanak mungkin akan dibunuh? Adakah itu yang saya dengar?” tanya Blitzer semasa wawancara yang disiarkan Rabu lalu.
Hecht kemudian mengulangi bahawa serangan itu menyasarkan seorang komander Hamas dan usaha sudah dibuat untuk meminimumkan korban orang awam.
“Kami, sekali lagi memberi tumpuan kepada komander ini dan anda akan mendapat lebih banyak data tentang siapa lelaki ini. Dia membunuh ramai orang Israel.
“Dan kami melakukan semua yang kami mampu. Ia adalah ruang pertempuran yang sangat rumit. Mungkin ada infrastruktur di sana, mungkin ada terowong di sana,” kata Hecht.
Tetap cuba mempertahankan serangan itu, Hecht mendakwa kehilangan nyawa pelarian adalah tragedi perang malah berkata, penduduk di utara Gaza sudah diberi amaran untuk berpindah ke selatan wilayah berkenaan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan udara di kem pelarian itu menyebabkan sekurang-kurangnya 195 maut dan mencederakan lebih 777 lagi, sementara 120 orang dilaporkan masih hilang.
Hecht mendakwa serangan itu berjaya menyasarakan ramai pejuang Hamas termasuk Biari yang dianggap bertanggungjawab menghantar anggota elit unit pasukan khas Nukbha ke Israel untuk melakukan serangan pada 7 Oktober lalu.
CNN melaporkan bahawa Hamas menafikan Biari berada di lokasi serangan.