WASHINGTON: Presiden Indonesia, Joko Widodo mendesak Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden melakukan lebih banyak lagi usaha untuk menamatkan kekejaman di Gaza, sekali gus membantu mewujudkan gencatan senjata ketika lawatan rasmi ke Rumah Putih semalam.
Perang Israel-Palestin membayangi rundingan itu, yang bertujuan mempamerkan peningkatan dalam hubungan antara Indonesia dan AS menjelang pertemuan Biden dengan Presiden China Xi Jinping minggu ini.
“Indonesia merayu kepada AS untuk melakukan lebih banyak lagi usaha bagi menghentikan kekejaman di Gaza,” kata Jokowi, pemimpin negara majoriti Muslim paling ramai penduduk di dunia.
“Gencatan senjata adalah satu kemestian demi kemanusiaan.”
Ahad lalu, Presiden Indonesia itu berkata beliau akan membawa kepada Biden “mesej yang sangat kuat” daripada sidang kemuncak bersama pemimpin Arab dan Islam di Riyadh pada hujung minggu yang mengecam Israel dan menggesa gencatan senjata.
Jokowi juga berkata beliau akan “menyampaikan mesej khusus daripada Presiden Mahmoud Abbas dari Palestin, yang meminta saya menyampaikannya kepada Presiden Biden,” mengenai perang.
Bagaimanapun Biden tetap fokus pada rancangan untuk meningkatkan kerjasama dengan Indonesia ke tahap tertinggi, yang dipanggil perkongsian strategik komprehensif.
Washington cuba membina pakatan di rantau Asia-Pasifik ketika China menjadi kehadiran yang semakin tegas.
“Ini akan menandakan era baharu hubungan antara AS dan Indonesia secara menyeluruh,” kata Biden.
Pemimpin juga akan membincangkan kerjasama mengenai mineral kritikal untuk bateri kenderaan elektrik dan teknologi tenaga bersih lain, yang mana Indonesia mempunyai rizab yang besar, kata Biden.