JALAN raya yang berasal dari tamadun era Rom purba ditemukan selepas kira-kira 2,000 tahun. Jalan raya itu yang dianggap ‘amat penting dalam sejarah Scotland’, ditemukan oleh ahli arkeologi ketika melakukan kerja ekskavasi di sebuah taman berhampiran Stirling.
Lapor Daily Mail, jalan raya purba itu dikatakan pernah digunakan oleh beberapa tokoh sejarah penting termasuk William the Conqueror, Oliver Cromwell dan hampir semua Raja dan Ratu Scotland.
Jalan berbatu itu dibina oleh tentera Rom jeneral Julius Agricola pada abad pertama Masihi dan disambungkan ke seberang melalui Sungai Forth.
“Ramai tokoh sejarah utama Scotland dan sejarah Britain lebih luas dipercayai menggunakan jalan raya itu untuk kempen ketenteraan.
“Jalan raya itu dianggap amat penting mengambil kira kepentingan strategiknya untuk menyeberangi Sungai Forth dan sampai ke Highlands, serta jaraknya berdekatan dengan Stirling yang merupakan ibu kota lama Scotland,” jelas laporan.
Tapak jalan purba itu ditemukan semasa kerja penggalian penerokaan di taman Kotej Old Inn, bersebelahan dengan Jambatan Old Drip abad ke-18, beberapa kilometer di barat pusat bandar Stirling.
Kotej itu sebelum ini merupakan rumah penginapan yang dibina pada abad ke-17.
Penduduk bernama Jennifer Ure tidak menyangka bahawa jalan purba itu tertimbus di taman kediamannya sehingga ditemukan oleh ahli arkeologi Majlis Stirling, Murray Cook.
“Saya tidak tahu jalan purba itu ada di sana sehingga Murray muncul dan meminta kebenaran untuk melakukan kerja penggalian di taman rumah saya.
“Selepas ia ditemukan, saya tidak dapat menahan perasaan teruja dengan mengambil kira kepentingannya,” katanya.
Dalam pada itu, Murray berkata, dia percaya sebahagian tapak jalan purba itu mungkin melalui taman kediaman Jennifer dan mula melakukan kerja penggalian.
“Laluan ini pernah digunakan oleh warga Rom, Picts, William the Conqueror, Oliver Cromwell dan semua Raja dan Ratu Scotland termasuk MacBeth, Kenneth McAlpin dan Robert the Bruce.
“Jalan raya itu amat penting dalam sejarah Scotland, jadi ia merupakan penemuan yang menakjubkan.
“Dengan berjalan di laluan yang pernah digunakan oleh kebanyakan tokoh sejarah penting adalah mengagumkan,” katanya.
Jelas beliau, setakat ini, pihaknya tidak dapat memastikan arah laluan sebenar jalan raya itu.
“Di selatan, jalan raya itu menuju ke Falkirk dan akhirnya akan membawa anda ke England.
“Pada utara pula, jalan itu akan membawa anda menyeberangi Tay dan pinggir empayar Rom,” katanya.
Beberapa pakar berpandangan tentera Rom menggunakan jalan raya itu untuk melancarkan serangan Scotland di bawah pemerintahan Maharaja Antonine dan Severan semasa abad kedua dan ketiga Masihi.
Sementara itu, Murray mengetuai kerja ekskavasi yang melibatkan sukarelawan dan pelajar tempatan.
“Tapak jalan raya purba itu tidak diselenggara dengan baik selepas orang Rom meninggalkannya, jadi apa yang dijumpai adalah permukaan jalan yang terhakis,” katanya.