Israel perhebat kawalan di utara Gaza

Israel perhebat kawalan di utara Gaza, penduduk Palestin tunggu masa dibunuh

PERTEMPURAN berterusan antara tentera Israel dan Hamas memusnahakan bangunan kediaman di utara Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Lebih 900,000 orang awam Palestin yang masih kekal di utara Gaza seakan menunggu masa untuk dibunuh rejim zionis selepas kawasan berkenaan kini dikelilingi oleh kereta kebal dan tentera Israel yang memperhebat serangan untuk melumpuhkan rangkaian terowong milik Hamas.

Tentera Israel menggesa orang awam melarikan diri ke selatan dan menawarkan tempoh empat jam untuk melakukan perjalanan tersebut.

KEPUNG GAZA CITY

Tetapi rejim zionis tidak memberi peluang untuk penduduk berpindah dengan selamat apabila turut bertalu-talu membedil selatan Gaza.

Sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh dalam serangan udara terbaharu Israel ke atas bandar Khan Younis dan Rafah.

“ Inilah keberanian yang digembar-gemburkan Israel. 

“Dengan angkuh menunjukkan kekuatan dan kuasa mereka terhadap orang awam, bayi, kanak-kanak dan warga emas,” kata Ahmed Ayesh yang diselamatkan dari runtuhan rumah di Khan Younis yang mengorbankan lebih 11 nyawa. 

Pasukan penyelamat dilihat hanya menggunakan tangan mereka untuk cuba menarik keluar mangsa yang tertimbus termasuk seorang gadis yang masih tersekat di dalam dalam serpihan runtuhan.

Seorang penduduk Gaza City, Adam Fayez Zeyara yang menuju ke selatan berkata, perjalanan tersebut merupakan yang paling berbahaya sepanjang hidupnya. 

“Sepanjang jalan kami melihat kereta kebal dari jarak dekat. Kami melihat cebisan tubuh yang mereput. Kami melihat kematian,” katanya.

Israel berkata, tenteranya mara jauh ke Gaza City di mana kereta kebal diletakkan di pinggir sekitar wilayah itu untuk menyerbu kawasan tengah Gaza.

Sejak awal perang sehingga memasuki bulan kedua kini, tentera Israel menggesa orang awam untuk berpindah ke selatan, melalui kawasan Salah Al-Din yang dikatakan selamat.

Tetapi puluhan ribu orang awam masih kekal di utara, kebanyakannya berlindung di hospital atau kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penduduk yang enggan berpindah berkata, mereka terhalang oleh kesesakan di selatan dengan bekalan air dan makanan yang semakin berkurangan di kawasan berkenaan serta serangan udara berterusan Israel walaupun rejim zionis mendakwa lokasi tersebut selamat.

TIADA LALUAN SELAMAT

Jurucakap Kementerian Kesihatan  Gaza, Ashraf Al-Qidra menolak tawaran Israel untuk laluan selamat kerana tiada apa-apa yang terjamin di kawasan berkenaan selain ‘koridor kematian’.

Beliau berkata, mayat berbaris di sepanjang jalan raya selama beberapa hari dan meminta Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) untuk mengiringi ambulans tempatan mengambil mayat-mayat tersebut.

Tentera Israel mendakwa mereka berdepan serangan Hamas apabila cuba membuka jalan buat sementara waktu untuk orang awam dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut mengulangi perkara sama dalam temu bual dengan siaran ABC News Isnin lalu.

“Kami sedang melawan musuh yang sangat kejam. Mereka menggunakan orang awam mereka sebagai perisai manusia dan semasa kami meminta penduduk awam Palestin meninggalkan zon perang, mereka menghalang dengan mengacukan senjata,” dakwa Netanyahu.

Sayap tentera Hamas berkata, pejuangnya berjaya menyebabkan kerugian dan kerosakan besar kepada tentera Israel yang sedang mara di Gaza.

Israel tanpa henti mengebom Gaza, membunuh lebih daripada 10,328 orang, kira-kira 40 peratus daripadanya kanak-kanak. 

“Sudah satu bulan penuh pembunuhan beramai-ramai, penderitaan yang tidak putus-putus, pertumpahan darah, kemusnahan, kemarahan dan rasa putus asa,” kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volcker Turk.

Jurucakap White House, John Kirby berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menentang pendudukan semula Israel di kawasan berkenaan kerana disifatkan tidak baik untuk Israel dan penduduknya.

Dua sumber Hamas dan kumpulan Jihad Islam berkata, kereta kebal Israel dilaporkan menghadapi tentangan hebat daripada pejuang Hamas menggunakan rangkaian terowong untuk melancarkan serangan hendap.

“Saya mencabar Israel jika ia mampu, setakat ini, untuk merekodkan sebarang pencapaian ketenteraan di lapangan selain membunuh orang awam,” kata pegawai kanan Hamas, Ghazi Hamad kepada televisyen Al Jazeera.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya