GAZA: Kumpulan pejuang Hamas berikrar tidak akan sesekali akan mengabaikan penduduk Gaza jika gencatan senjata yang dipersetujui dengan Israel terbatal sebaliknya berjanji untuk terus memperjuangkan kebebasan mereka daripada cengkaman rejim Zionis.
Kelmarin, Hamas, mendedahkan syarat-syarat perjanjian gencatan senjata Semenanjung Gaza yang dicapai dengan pihak berkuasa pendudukan Israel selepas pengantaraan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS).
IKRAR HAMAS
Menurut Hamas, rundingan mengenai gencatan senjata itu sangat rumit dan sukar.
“Usaha itu dirumuskan mengikut visi yang bertujuan untuk berkhidmat kepada rakyat kita dan mengukuhkan ketabahan mereka dalam menghadapi pencerobohan,” jelas Hamas dalam kenyataannya.
Hamas menegaskan, kumpulan perantara menguruskan rundingan dari kedudukan kestabilan dan kekuatan mereka walaupun Israel cuba untuk memanjangkan dan menangguhkannya.
Kumpulan pejuang itu turut menjelaskan akan sentiasa berjaga-jaga dan tidak mudah terpedaya dengan janji Israel serta berusaha melindungi kedaulatan Gaza.
“Semasa mengumumkan mencapai perjanjian gencatan senjata kami menegaskan akan mengekalkan semangat dan briged kami akan terus berjaga-jaga untuk membela rakyat kami,” katanya.
Perjanjian gencatan senjata oleh Hamas dan Israel melibatkan pemberhentian semua tindakan ketenteraan oleh tentera pendudukan di semua kawasan di Semenanjung Gaza untuk tempoh empat hari.
Semasa tempoh gencatan senjata, Israel perlu komited untuk tidak menyerang atau menangkap sesiapa sahaja yang berada di mana-mana kawasan di Semenanjung Gaza dan meminta pergerakan bebas penduduk dari utara ke selatan di sepanjang Salah El-Din.
Hamas turut bersetuju dengan pembebasan 50 tawanan wanita dan kanak-kanak sebagai pertukaran untuk pembebasan 150 wanita dan kanak-kanak Palestin yang dipenjarakan di Israel.
Perjanjian itu turut membenarkan kemasukan ratusan trak bantuan kemanusiaan, perubatan dan bahan api ke semua kawasan di Semenanjung Gaza serta menghentikan kemaraan kenderaan tentera pendudukan Israel ke Semenanjung Gaza.
ISRAEL TUNDA GENCATAN SENJATA
Seperti diduga, Israel cuba menunda perjanjian gencatan senjata yang dicapai.
Semalam, Israel berkata, gencatan senjata di Gaza serta pembebasan tebusan tidak akan bermula dan hanya akan dilaksanakan paling awal sekitar Jumaat.
Penasihat keselamatan Israel, Tzachi Hanegbi menyatakan pembebasan sekurang-kurangnya 50 tebusan Israel dan warga asing yang ditahan oleh Hamas berada di landasan yang betul, tetapi tidak berlaku seawal dirancang pada Khamis.
“Hubungan mengenai pembebasan tebusan kami semakin maju dan berterusan. Permulaan pembebasan akan berlaku mengikut perjanjian asal antara kedua-dua pihak dan bukan sebelum Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan
Malah, penghentian pertempuran juga tidak berlaku pada hari Khamis seperti yang dijangkakan.
Kelewatan itu memberi pukulan hebat kepada keluarga yang terdesak untuk melihat orang tersayang pulang ke pangkuan mereka begitu juga kepada lebih dua juta penduduk Gaza yang berdoa untuk menamatkan peperangan dan kemusnahan selama hampir 47 hari.
“Bagi setiap 10 tebusan tambahan yang dibebaskan, akan ada satu hari tambahan ‘jeda’ dalam pertempuran,” kata dokumen kerajaan Israel.
Menurut seorang pegawai Palestin, kelewatan yang berlaku adalah disebabkan pertukaran butiran saat akhir mengenai nama tebusan dan kaedah pembebasan mereka.
“Senarai mereka yang akan dibebaskan telah ditukar oleh kedua-dua pihak. Persoalan juga dibangkitkan mengenai akses Palang Merah kepada tebusan sebelum mereka dibebaskan ke Mesir dan sama ada agensi itu akan mempunyai akses kepada mereka yang masih tinggal,” katanya.
Menteri Dalam Negeri Israel, Itamar Ben-Gvir menyifatkan perjanjian itu sebagai ‘kesilapan bersejarah’ yang akan memberanikan Hamas dan mempertaruhkan nyawa tentera Israel. – AFP