GAZA: Agensi siasatan digital Al Jazeera, Sanad menolak dakwaan tentera Israel yang menyatakan terdapat rangkaian terowong bawah tanah Hamas di bawah Hospital Pemulihan dan Hospital prostetik Sheikh Hamad bin Khalifa yang juga dikenali sebagai Hospital Qatari.
Pihak berkuasa Zionis sebelum ini sering mendakwa terdapat kubu dan terowong bawah tanah di bawah kebanyakan hospital di Gaza.
Alasan itu dibuat untuk membolehkan mereka menyerang kemudahan itu tanpa ‘rasa bersalah’ dan mengelak dikecam dunia.
Dalam undang-undang antarabangsa, menyerang pusat kesihatan ketika perang adalah salah dan boleh dikenakan tindakan.
Terdahulu, tentera Israel berkongsi satu video menunjukkan satu pintu masuk di pekarangan hospital yang didakwa sebagai laluan kepada terowong Hamas.
Namun, siasatan Sanad mendapati pintu masuk itu sebenarnya akses untuk masuk ke pusat takungan air yang digunakan hospital untuk mengisi kolam terapeutik bagi merawat pesakit yang dipotong anggota badan, mencuci kawasan sekitar dan sebagai tempat menyimpan bekalan air jika berlaku kecemasan.
Selain itu, Sanad turut menganalisis rakaman satelit dan arkib pembinaan hospital berkenaan, malah turut bercakap dengan seorang daripada jurutera yang terlibat dalam pembinaannya.
Hospital yang dibina Qatar itu mula beroperasi pada 2019.
Seperti kebanyakan pusat kesihatan lain, hospital itu juga mengalami kerosakan teruk akibat bedilan udara tentera Zionis.
Sepanjang konflik berlangsung, Israel mendakwa beberapa hospital di wilayah bergolak itu, termasuk Hospital al-Shifa yang merupakan hospital terbesar digunakan sebagai kubu Hamas.
Zionis mendakwa pengurusan hospital berkomplot dengan Hamas menjadikan pusat kesihatan sebagai medan untuk membekalkan senjata, anggota Hamas bersembunyi dan bergerak ke tempat lain.
Tentera Israel menyatakan Hamas sengaja membina terowong bawah tanah di bawah bangunan hospital bagi mengaburi mata musuh.
Sehubungan itu, Zionis memaklumkan adalah ‘wajar’ mereka mengebom semua hospital di Gaza.
Penganalisis pula menyifatkan tindakan Israel itu sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.