GAZA CITY: Israel mengeluarkan amaran baharu kepada penduduk Palestin di bandar Khan Younis, selatan Gaza untuk meninggalkan kediaman masing-masing dan berpindah segera ke barat.
Kawasan itu dikatakan jauh dari lokasi pertempuran dan lebih dekat dengan operasi bantuan kemanusiaan.
Arahan pemindahan itu juga secara tidak langsung memberi petunjuk baharu bahawa Israel merancang untuk menyerang kumpulan pejuang Hamas di selatan Gaza.
“Kami meminta penduduk di bandar selatan Gaza itu berpindah dengan segera.
“Saya sedar ia bukan mudah bagi kebanyakan penduduk di kawasan itu tetapi kami tidak mahu melihat orang awam terperangkap dalam pertempuran ini,” kata Penasihat Kanan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Mark Regev kepada MSNBC.
Tindakan sedemikian dikhuatiri boleh memaksa ratusan ribu rakyat Palestin yang melarikan diri ke selatan bagi mengelak serangan Israel ke atas Gaza City, untuk berpindah semula bersama penduduk bandar Khan Younis.
Situasi itu dijangka memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedia ada.
Tentera Israel menggugurkan ribuan risalah di kawasan timur Khan Younis yang mengarahkan penduduk berpindah dengan segera.
Menurut Regev, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) perlu mara ke kawasan bandar untuk bertempur dengan pejuang Hamas dari terowong bawah tanah dan kubu.
Namun, katanya, tiada infrastruktur sedemikian wujud di kawasan barat.
Dilaporkan, lebih 400,000 penduduk tinggal di Khan Younis.
Khan Younis turut menjadi tempat perlindungan puluhan ribu penduduk dari utara Gaza yang berpindah selepas dipaksa oleh Israel yang melancarkan serangan berterusan menyasarkan kawasan perumahan awam, sekolah, kem pelarian dan hospital. – REUTERS