JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia meningkatkan tahap waspada terhadap risiko penyakit pernafasan yang kini menular di utara China termasuk menyediakan beberapa langkah persediaan.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan China menggesa pihak berkuasa tempatan untuk menambah bilangan klinik rawatan demam.
Gesaan itu menyusul ketika negara berkenaan bergelut dengan lonjakan kes jangkitan berkait pernafasan ketika musim sejuk di negara itu sejak melonggarkan sekatan Covid-19.
“Kita boleh melakukan tindakan berjaga-jaga di pintu masuk ke Indonesia melalui pejabat kesihatan, terutama terhadap penghidap simptom selsema.
“Kita juga akan melaksanakan usaha mewar-warkan mengenainya dan meningkatkan kesedaran kepada penduduk,” kata Biro Komunikasi dan Perkhidmatan Awam kementerian itu, Siti Nadia Tarmizi dalam satu kenyataan.
Siti Nadia berkata, langkah berjaga-jaga lain adalah menjalankan pemantauan terhadap makanan, selain kementerian mempunyai sistem pengawasan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).
Beliau berkata, pengawasan ILI dan SARI dijalankan di kemudahan kesihatan peringkat pertama seperti pusat kesihatan masyarakat untuk memantau gejala yang serupa dengan influenza itu.
Langkah itu diambil berikutan wabak radang paru-paru dicetuskan oleh bakteria Mycoplasma yang menyebabkan gejala seperti influenza.
Beliau berkata, jika berlaku kes sedemikian, pejabat kesihatan tempatan akan mengambil sampel untuk pemeriksaan penjujukan genom bagi menyemak sama ada penyakit itu disebabkan bakteria Mycoplasma atau bakteria dan virus lain.
Siti Nadia berkata, langkah meningkatkan kewaspadaan itu juga mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beliau turut menyeru orang ramai supaya sentiasa mencuci tangan dengan air yang mengalir, mengekalkan gaya hidup bersih dan sihat serta memakai pelitup muka jika mereka berasa tidak sihat.