DEHRADUN: Beberapa gambar membabitkan 41 pekerja yang terperangkap lebih seminggu lalu dalam runtuhan terowong jalan raya di Uttarakhand, dikeluarkan buat pertama kali.
Gambar berkenaan menunjukkan pekerja binaan berada di ruang sempit dan sedang berkomunikasi dengan pasukan penyelamat.
Menurut pihak berkuasa, kesemua pekerja itu terperangkap dalam terowong jalan raya sepanjang 4.5 kilometer di negeri Himalaya sejak ia runtuh pada 12 November lalu.
Jelasnya, mangsa berada dalam keadaan selamat dengan mendapat akses kepada bekalan oksigen, cahaya, makanan, air dan ubat-ubatan.
Setakat ini, mereka tidak memaklumkan punca menyebabkan runtuhan, namun wilayah itu dikatakan kerap terdedah kepada tanah runtuh, gempa bumi dan banjir.
Usaha untuk membawa keluar 41 pekerja terperangkap dalam runtuhan terowong itu dilihat semakin perlahan disebabkan pasukan penyelamat berdepan kesukaran menggerudi melalui serpihan di kawasan pegunungan.
Sebuah rakaman video berdurasi 30 saat dimuat naik oleh pihak berkuasa menunjukkan puluhan pekerja lelaki yang terperangkap berdiri di hadapan kamera.
Kesemua pekerja terbabit dilihat memakai topi keledar dan jaket dengan berlatar belakangkan lampu di dalam terowong.
Rakaman itu menunjukkan seorang pekerja penyelamat dari luar meminta setiap mangsa berdiri di hadapan kamera dan mengesahkan identiti masing-masing pada peralatan walkie-talkie yang dihantar.
Pihak berkuasa memaklumkan video itu dirakam melalui kamera endoskopi perubatan yang dihantar menerusi saluran paip kedua yang lebih lebar berdiameter 15 sentimeter (cm) dan digerudi melalui serpihan.
Dalam klip video itu, kesemua pekerja binaan yang terperangkap menyatakan mereka dalam keadaan baik sahaja. – REUTERS