Hantar bantuan guna payung terjun ke Gaza mungkin 'pilihan terakhir' - Utusan Malaysia

Hantar bantuan guna payung terjun ke Gaza mungkin ‘pilihan terakhir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bantuan diihantar menggunakan payung terjun ke Semenanjung Gaza adalah ‘pilihan terakhir’ untuk memenuhi keperluan penduduk di wilayah bergolak itu,  kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi menegaskan bahawa ia akan menjadi ‘sangat mencabar’ dari segi logistik.

“Payung terjun sentiasa pilihan terakhir jika anda bertanya kepada mana-mana rakan logistik kerana ia sangat, sangat mahal dan tidak mampan,” kata Ketua Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) di Wilayah Palestin yang diduduki, Andrea De Domenico, pada taklimat seperti dilaporkan Agensi Anadolu.

De Domenico berkata terdapat cara untuk membawa bantuan jika pihak bersetuju mengenai akses tanpa halangan dan berterusan.

Kenyataannya dibuat selepas Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menggesa Kesatuan Eropah (EU) dan PBB untuk menggunakan payung terjun bagi membawa bantuan ke Semenanjung Gaza.

“Jadi saya fikir ia adalah pintu masuk pertama yang perlu bertegas dalam membuka lintasan dan memastikan bekalan yang berterusan masuk daripada memikirkan senario yang melampau.

“Saya tahu bahawa orang Jordan sudah pun melancarkan dengan bantuan melalui pesawat. Tetapi sudah tentu seperti yang anda boleh bayangkan kuantitinya adalah terhad dan seperti yang saya katakan secara logistik sangat, sangat mencabar,” kata De Domenico.

Beralih kepada pertempuran yang semakin sengit di sekitar hospital Al-Shifa pada hujung minggu, beliau berkata infrastruktur, termasuk tangki air, stesen oksigen, kemudahan kardiovaskular dan wad bersalin, telah rosak.

“Kami menyeru semua orang untuk menghormati hospital… hospital tidak boleh dijadikan tempat peperangan. Sebarang operasi ketenteraan di sekitar atau di dalam hospital mesti mengambil langkah untuk menyelamatkan dan melindungi pesakit, kakitangan perubatan dan orang awam lain.

“Dan semua langkah berjaga-jaga yang boleh dilaksanakan mesti diambil, termasuk amaran berkesan yang mempertimbangkan keupayaan pesakit, kakitangan perubatan dan orang awam lain untuk berpindah dengan selamat,” tegasnya.

Pegawai itu juga memberi amaran bahawa kehidupan di Gaza ibarat telur di hujung tanduk kerana kehabisan bahan api dan bekalan perubatan.

Sementara itu, beliau menganggarkan sehingga Ahad, 230,000 orang mungkin berpindah ke bahagian selatan Gaza.

Ketika serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza memasuki hari ke-38, sekurang-kurangnya 11,180 rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk lebih 7,700 kanak-kanak dan wanita, dan lebih 28,200 yang lain telah cedera, menurut angka terkini daripada pihak berkuasa Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya