GAZA: ‘Sudah empat kali rumah saya musnah dibedil tentera Zionis, tapi saya tetap di sini, tidak akan berpindah ke mana-mana, saya akan bina semula rumah saya’
Itu kata-kata yang dikeluarkan seorang warga emas di Gaza ketika dia duduk di atas sisa runtuhan rumahnya yang dirakam jurugambar bebas, Mariam Riyad Abu Dagga.
Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan, ribuan penduduk di utara Gaza yang sebelum ini dipaksa meninggalkan kediaman mereka oleh tentera Zionis Israel nekad kembali ke kampung halaman masing-masing, sempena penguatkuasaan jeda kemanusiaan selama empat hari antara tentera Israel dan Hamas di semua wilayah Semenanjung Gaza.
Walaupun inisiatif yang dicapai selepas 48 hari konflik itu tidak menyebut sebarang persetujuan untuk penduduk Gaza kembali menghuni tanah mereka, penduduk tetap mengambil risiko untuk pulang.
Mereka sanggup berjalan kaki sambil menggendong anak dan barangan, menumpang lori, motosikal, mengayuh basikal malah menggunakan keldai dan ‘tuk-tuk’, meskipun belum pasti bagaimana keadaan rumah mereka, masih ada atau tidak.
“Kami sedikit lega dengan gencatan senjata ini tapi perasaan takut itu sentiasa ada. Kami mahu pulang ke rumah, biarpun yang mungkin hanya tinggal debu, kami mahu lihat rumah kami.
“Biarpun keadaan amat sukar dan daif, alhamdulillah saya dan keluarga masih selamat, kami sihat dan tidak sabar untuk pulang,” kata Husin Aby Elyan, 47.
Dia sebelum ini berlindung bersama isteri dan seorang anak perempuannya di bangunan sekolah di barat Khan Yunis, selatan Gaza.
Seorang lagi penduduk Gaza, Abu Ali Abu menyatakan dia mahu pulang ke utara Gaza kerana keadaan di selatan Gaza lebih teruk kerana tiada air, bahan api, malah terpaksa tidur atas tanah.
“Kami sanggup bina semula rumah kami asalkan kami ada di tempat sendiri, biarlah susah pun, kami tidak akan tinggalkan tanah air kami, kami boleh bina semula rumah gunakan apa sahaja,” katanya.
Namun, bagi Musa Al-Bahabsa, 50, dari timur Gaza, dia memutuskan untuk kekal di selatan kerana bimbang keselamatan keluarganya kerana kereta kebal Israel menembak ke arah penduduk yang pulang ke utara.
Agensi Berita Qatar (QNA) turut melaporkan sejumlah tujuh penduduk Gaza cedera ditembak tentera Israel ketika dalam perjalanan kembali ke utara, kelmarin.