Hamas teruskan usaha musnahkan rancangan kejam Zionis

Hamas teruskan usaha gagalkan rancangan jahat Zionis di Gaza

SEORANG wanita Palestin duduk di atas serpihan runtuhan di apartmennya yang rosak di daerah Khezaa di selatan Genting Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyeh menegaskan pihaknya berjaya menghadapi tentera pendudukan dan memusnahkan rancangan mereka walaupun berdepan korban besar dan peningkatan bilangan syahid di Gaza sepanjang lebih sebulan konflik tercetus.

USAHA GENCATAN SENJATA

Ismail berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini.

“Ini adalah harga kebebasan dan pembebasan.”

“Musuh mahu tebusan dipulangkan dengan menggunakan senjata api, pembunuhan, pembunuhan beramai-ramai dan semua bentuk keganasan yang belum pernah berlaku dalam sejarah, malah mengisytiharkan tidak akan menerima gencatan senjata.

“Mereka enggan melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan yang dikeluarkan baru-baru ini, yang menetapkan gencatan senjata kemanusiaan. Walau bagaimanapun, selepas hampir 50 hari melakukan jenayah dan kekejamannya Zionis akhirnya akur,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail turut memuji ketabahan dan keberanian rakyat Palestin menempuh medan pertempuran terburuk itu.

Beliau berkata, keteguhan itu menjadi punca utama menyebabkan pihak Israel terpaksa memenuhi syarat-syarat persetujuan gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada 7 pagi Jumaat lalu dan akan berterusan selama empat hari.

“Dengan tajaan saudara-saudara kita di Qatar dan Mesir, kami memasuki rundingan yang sukar sejak beberapa minggu lalu.

“Namun kami menguruskannya dengan rasa tanggungjawab dan keseimbangan teliti untuk mengurangkan penderitaan rakyat kami.

“Kami juga berusaha keras menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel dan tidak akan membiarkan musuh mengenakan agendanya atau mengelak syarat gencatan senjata ini, sebaliknya mengenakan visi dan keutamaan kami,” katanya.

Ismail turut menegaskan pergerakan itu akan mematuhi perjanjian gencatan senjata selagi musuh mematuhinya.

TAKKAN TINGGALKAN GAZA

Beliau juga mengalu-alukan kesinambungan usaha berterusan untuk menamatkan pencerobohan Israel dan memastikan rejim Zionis menerima akibat daripada jenayah perang yang dilakukan mereka.

Ismail turut menekankan bahawa gerakan Hamas tidak akan meninggalkan kedudukan serta tanggungjawabnya terhadap rakyat Gaza sebelum, semasa atau selepas pertempuran.

“Kami juga menekankan perpaduan rakyat dan nasib mereka di tanah air sendiri. Kami memuji pendirian negara Arab dan Islam lain berhubung penolakan sebarang campur tangan terhadap nasib Semenanjung Gaza selepas tamat pencerobohan.

“Hamas dengan tegas menolak perpindahan terutama ke negara-negara saudara kami di Mesir dan Jordan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Staf Am Israel, Herzi Halevi berkata, pihaknya akan meneruskan serangan ke atas Semenanjung Gaza sejurus selepas jeda kemanusiaan sementara dengan Hamas berakhir

“Kami akan segera kembali bergerak menghapuskan Hamas dan memberikan tekanan yang ketara untuk membebaskan semua tebusan yang ditahan di Gaza.

“Kami menyelesaikan prosedur untuk menerima kumpulan pertama wanita dan kanak-kanak yang ditahan oleh Hamas. Saya harap kumpulan seterusnya akan tiba,” tambahnya.

Israel dan Hamas sudah membuat pertukaran pembebasan 24 tebusan penduduk Israel dan warga asing dengan 39 rakyat Palestin dari penjara Israel pada Jumaat lalu.

Kelmarin tambahan 17 lagi tebusan dibebaskan oleh Hamas sebelum pembebasan kumpulan tahanan ketiga dibuat.

Menurut kementerian kesihatan Gaza, lebih 14,854 rakyat Palestin termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita terkorban di wilayah itu sejak konflik tercetus sementara angka kematian rasmi Israel kekal berjumlah 1,200 orang.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya