Hamas dijangka lepaskan 50 lagi tebusan selepas bebaskan kumpulan kedua tahanan Israel - Utusan Malaysia

Hamas dijangka lepaskan 50 lagi tebusan selepas bebaskan kumpulan kedua tahanan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pejuang Hamas sudah membebaskan kumpulan kedua orang awam Israel dan warga asing yang dijadikan tebusan di Semenanjung Gaza semalam sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin.

Pihak berkuasa Israel berkata, 13 penduduk Israel dan empat warga Thailand sudah kembali ke Israel.

Pengumuman bersama oleh tentera Israel dan perkhidmatan keselamatan Shin Bet dibuat selepas Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan menerima 17 tebusan yang pulang termasuk empat warga Thailand.

Sebelum ini, Hamas memberitahu sudah menyerahkan 13 penduduk Israel dan tujuh warga asing kepada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

Penyerahan itu dibuat beberapa jam selepas Hamas menuduh Israel melanggar perjanjian pertukaran, tetapi dakwaan itu dinafikan oleh pegawai Israel.

Hamas memaklumkan bertindak balas secara positif kepada pengantara Mesir dan Qatar, selepas mereka menyampaikan janji oleh Israel untuk menegakkan semua syarat perjanjian itu.

Qatar berkata, dalam pertukaran kedua gencatan senjata, 13 tebusan Israel termasuk lapan kanak-kanak dan lima wanita akan dibebaskan sebagai pertukaran kepada 39 banduan Palestin iaitu 33 kanak-kanak dan enam wanita.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari menerusi hantaran di laman X berkata, tujuh warga asing yang ditahan di Gaza juga akan dibebaskan.

Pegawai Israel menafikan sebarang pelanggaran syarat pemberhentian sementara perang.

Hamas dijangka membebaskan 50 lagi tebusan sebagai pertukaran bagi 150 tahanan Palestin di bawah perjanjian yang kendalikan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS).

Mesir memaklumkan menerima maklum balas positif daripada kedua-dua pihak mengenai idea untuk melanjutkan gencatan senjata selama satu atau dua hari dan membebaskan lebih banyak tebusan serta banduan.

Presiden AS, Joe Biden berkata, perkara itu baru permulaan namun setakat ini dilihat berjalan lancar.

“Peluang untuk melanjutkan gencatan senjata memang wujud,” katanya.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi menggesa gencatan senjata yang kekal dan penamatan sepenuhnya terhadap pencerobohan itu.

Bagaimanapun, Ketua Angkatan Tentera Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi, semalam menegaskan bahawa perang untuk menghapuskan Hamas akan disambung semula sebaik saja pemberhentian sementara pertempuran berakhir.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN