Gencatan senjata henti sementara keganasan di Gaza

Gencatan senjata henti sementara keganasan di Gaza

SEORANG kanak-kanak berdiri di celah runtuhan bangunan sekolah ketika gencatan senjata bermula di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tiada laporan mengenai pengeboman, serangan artileri atau serangan roket ketika Israel dan Hamas memulakan gencatan senjata selama empat hari di Gaza, jeda pertama dalam perang 48 hari yang menghancurkan kawasan Palestin.

Gencatan senjata itu bermula pada pukul 7 pagi (waktu tempatan) atau kira-kira pukul 1 tengah hari waktu Malaysia, melibatkan gencatan senjata menyeluruh di utara dan selatan Gaza.

Seorang wartawan Reuters berhampiran bahagian utara Gaza mengakui tidak mendengar aktiviti tentera udara Israel sementara TV Al-Mayadeen Lubnan melaporkan sejak permulaan gencatan senjata, tiada bunyi pengeboman kedengaran.

Siren dilaporkan dibunyikan di dua perkampungan Israel di luar Gaza selatan, memberi amaran kemungkinan roket Palestin masuk.

Kedua-dua pihak juga memberi isyarat bahawa jeda akan berlangsung sementara sebelum pertempuran disambung semula.

Jurucakap kementerian luar Qatar, Majed Al-Ansari berkata, bantuan tambahan mula mengalir ke Gaza dan tebusan pertama, termasuk wanita warga emas dibebaskan dengan jumlah keseluruhan dijangka meningkat kepada 50 dalam tempoh empat hari.

Mesir berkata, 130,000 liter diesel dan empat trak gas bersama 200 trak bantuan akan dihantar ke Gaza setiap hari apabila gencatan senjata bermula dengan rakyat Palestin dijangka dibebaskan dari penjara Israel.

“Kita semua berharap bahawa gencatan senjata ini akan membawa kepada peluang untuk memulakan kerja yang lebih luas untuk mencapai gencatan senjata kekal,” kata jurucakap Qatar.

Menjelang gencatan senjata, pertempuran menjadi lebih sengit dengan jet Israel membedil lebih 300 sasaran malah terbabit dalam pertempuran hebat di sekitar kem pelarian Jabalia dan hospital di utara Gaza City.

Jurucakap tentera berkata, operasi akan diteruskan sehingga tentera menerima arahan untuk berhenti. 

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant menjangkakan serangan darat Israel ke atas Gaza mungkin berlanjutan sekurang-kurangnya dua bulan lagi sebaik gencatan senjata singkat itu berakhir.

Gallant berkata, peperangan itu akan menjadi yang terakhir jika Israel berjaya menghapuskan kumpulan pejuang Hamas dan apa yang bakal berlaku dalam beberapa hari akan datang hanyalah pembebasan tebusan.

“Apa yang diperlukan daripada anda dalam tempoh ini adalah untuk mengatur, bersiap sedia, menyiasat, membekalkan semula senjata dan bersedia untuk meneruskan.

“Akan ada kesinambungan kerana kami perlu melengkapkan kemenangan dan mencipta dorongan untuk kumpulan tebusan seterusnya, yang hanya akan kembali akibat tekanan,” katanya kepada tentera unit komando elit Israel.-REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya