GAZA: Gencatan senjata antara Israel dan Hamas memasuki 24 jam terakhir dengan kumpulan pejuang bersedia melanjutkan jeda selepas membebaskan lebih banyak tebusan, termasuk seorang kanak-kanak yatim piatu berusia empat tahun.
Gencatan senjata yang bermula Jumaat lalu menyaksikan berpuluh-puluh tebusan dilepaskan, dengan lebih 100 tahanan Palestin dibebaskan oleh Israel sebagai pertukaran.
GESAAN LANJUTKAN JEDA
Perhatian kini tertumpu sama ada gencatan senjata itu akan dilanjutkan sebelum dijadualkan berakhir pada awal pagi Selasa waktu tempatan.
“Itulah matlamat saya, itulah matlamat kami, untuk memastikan jeda ini melepasi hari esok supaya kami dapat terus melihat lebih ramai tebusan keluar dan melonjakkan lebih banyak bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan di Gaza,” kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.
Jeda dalam pertempuran membolehkan lebih banyak bantuan sampai kepada rakyat Palestin yang bergelut untuk terus hidup dengan kekurangan air dan keperluan lain.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Bbut Adnan Abu Hansa memberi amaran tentang keperluan kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini”.
“Kami sepatutnya menghantar 200 lori sehari secara berterusan sekurang-kurangnya dua bulan,” katanya.
Hamas menyatakan kesediaannya untuk melanjutkan gencatan senjata, dengan sumber mengatakan kumpulan itu memberitahu pengantar,a mereka terbuka untuk memanjangkannya dua hingga empat hari lagi.
“Kumpulan pejuang percaya adalah mungkin untuk memastikan pembebasan 20 hingga 40 tahanan Israel,” kata sumber yang rapat dengan pergerakan itu.
Di bawah gencatan senjata itu, 50 tebusan yang ditahan oleh kumpulan dibebaskan selama empat hari sebagai pertukaran untuk 150 tahanan Palestin.
Bagi setiap 10 tebusan tambahan yang dibebaskan, akan ada satu hari tambahan ‘jeda’ dalam pertempuran.
Hamas turut membebaskan tiga warga Thailand serta seorang warga Russia-Israel, Ron Krivoy yang dibebaskan sebagai tindak balas terhadap usaha Presiden Russia, Vladimir Putin dan sokongannya terhadap perjuangan Palestin.
Satu faktor yang berpotensi merumitkan adalah hakikat bahawa beberapa tebusan dipercayai ditahan oleh kumpulan selain Hamas.
Israel menghadapi tekanan besar daripada keluarga tebusan serta sekutunya untuk melanjutkan gencatan senjata bagi membebaskan lebih banyak tebusan.
“Adalah baik, membantu dan perlu untuk melanjutkan gencatan senjata sehingga semua tebusan termasuk warga Perancis, dibebaskan,” kata Menteri Luar Perancis Catherine Colonna kepada BFMTV.
KEANGKUHAN ISRAEL
Walaupun menghadapi tekanan untuk melanjutkan jeda yang dimediasi oleh Qatar, AS dan Mesir, Israel tetap berminat untuk menolak sebarang cadangan menghentikan serangan kejam ke atas Gaza.
“Kami teruskan sehingga ke akhirnya. Sehingga kemenangan,” kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam lawatan pertamanya ke Gaza Ahad lalu.
Pejabatnya malah mencadangkan bajet perang sebanyak AS$8 bilion (RM37.42 bilion) selama 90 hari.
Menerusi rakaman disiarkan dalam talian oleh pejabatnya, Netanyahu yang dilihat memakai pakaian berwarna hijau dengan dikelilingi tentera berikrar untuk membebaskan semua tebusan dan menghapuskan Hamas.
“Tiada apa yang akan menghalang kami, dan kami yakin bahawa kami mempunyai kuasa, kekuatan, kemahuan dan keazaman untuk mencapai semua matlamat perang,” katanya dengan nada angkuh.
Di Gaza, penduduk dilihat mengutip timbunan runtuhan mencari harta benda selepas beberapa minggu pengeboman.
“Saya datang untuk melihat jika ada apa-apa lagi, jika ada apa-apa yang boleh saya selamatkan. Kami melarikan diri tanpa membawa apa-apa. Kami penat, cukupla-cukuplah kami tidak boleh tahan lagi,” kata seorang penduduk, Ous sama al Bass.
Di pinggir Bandar Gaza, keluarga berjalan kaki ke arah selatan, menolak bagasi serta saudara-mara di kerusi roda dan menggendong kanak-kanak.
Israel memberitahu penduduk Palestin di Gaza untuk meninggalkan utara wilayah itu tetapi kini menghantar mesej teks kepada mereka yang berada di bandar selatan Khan Yunis, memberi amaran kononya mereka tahu tebusan sedang ditahan di sana.
“Tentera akan menembak sesiapa sahaja yang telah menculik tebusan,” kata mesej itu.