GAZA: Selepas hampir tujuh minggu perang, Israel dan Hamas hari ini memulakan gencatan senjata selama empat hari dengan kumpulan pejuang Islam itu bersedia membebaskan 13 wanita dan kanak-kanak Israel.
Gencatan senjata sementara itu juga akan membolehkan bantuan memasuki wilayah Gaza yang terkepung.
Gencatan senjata bermula pukul 7 pagi (1 tengah hari waktu Malaysia), melibatkan gencatan senjata menyeluruh di utara dan selatan Gaza, dan akan diikuti dengan pembebasan beberapa daripada lebih 200 tebusan yang diambil oleh Hamas ketika serangan 7 Oktober lalu, kata pengantara di Qatar.
Sebilangan tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel akan dibebaskan sebagai pertukaran.
Pertempuran berterusan dalam beberapa jam sebelum gencatan senjata, dengan pegawai di dalam wilayah terkepung yang diperintah Hamas berkata sebuah hospital di Gaza City antara sasaran yang dibom.
Kedua-dua pihak juga memberi isyarat bahawa jeda akan berlangsung sementara sebelum pertempuran disambung semula.
Bantuan tambahan akan mula mengalir ke Gaza dan tebusan pertama, termasuk wanita warga emas, akan dibebaskan pada pukul 4 petang (10 malam waktu Malaysia) dengan jumlah keseluruhan meningkat kepada 50 dalam tempoh empat hari, jurucakap kementerian luar Qatar, Majed Al-Ansari berkata di Doha.
Mesir berkata 130,000 liter diesel dan empat trak gas akan dihantar setiap hari ke Gaza apabila gencatan senjata bermula, dan 200 trak bantuan akan memasuki Gaza setiap hari.
Rakyat Palestin dijangka dibebaskan dari penjara Israel, kata jurucakap Qatar itu kepada pemberita.