AMMAN: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menolak tuntutan Jordan dan Mesir yang menggesa gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza.
Penolakan itu dibuat pada mesyuarat menteri-menteri luar Arab yang diadakan di Amman, semalam.
Lapor Arab News, menurut Blinken, gencatan senjata akan menjadi tidak produktif dan boleh menggalakkan lebih banyak serangan daripada Hamas.
Malah, Blinken menegaskan pihaknya hanya boleh menyokong `pemberhentian sementara konflik atas dasar kemanusiaan’ bagi membenarkan penghantaran bantuan dan pemindahan penduduk dari enklaf dikepung.
“Pada pandangan kami, gencatan senjata hanya akan menyebabkan Hamas berada di tempatnya selain dapat berkumpul semula dan mengulangi serangan mengejut dilakukan pada 7 Oktober lalu,” kata Blinken dalam sidang akhbar selepas rundingan itu.
Terdahulu, menteri-menteri luar dari Jordan, Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan seorang pegawai kanan Palestin bertemu dengan Blinken selepas mengadakan mesyuarat berasingan sebelum ini dan satu lagi pertemuan dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II.
Mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi dan rakan sejawatnya di Arab Saudi, Putera Faisal Farhan, Abdullah Zayed Al-Nahyan (UAE), Mohammed Abdulrahman Jassim Al-Thani (Qatar), Sameh Shoukry (Mesir) dan Hussein Al-Sheikh dari Pertubuhan Pembebasan Palestin.
Berdasarkan Kementerian Luar Jordan dalam satu kenyataan, mesyuarat itu mengulangi semula gesaan negara-negara Arab untuk melaksanakan gencatan senjata `segera’ dan penghantaran bantuan `tanpa sebarang gangguan’ di Gaza sebagai sebahagian usaha bagi menghentikan konflik.
Bercakap pada sidang akhbar yang sama, Ayman turut menegaskan `pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang itu perlu ditamatkan dengan segera.
Selain itu, tegas beliau, kekebalan diberikan kepada Israel yang dilihat membelakangkan undang-undang antarabangsa juga harus dihentikan.
Beliau juga menyeru agar penghantaran bantuan ke Gaza disegerakan, selain meminta Israel menghentikan tindakan perpindahan penduduk Palestin.
Tambahnya, beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai situasi berlaku di Tebing Barat yang mana peneroka haram dibenarkan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa.