NEW YORK : Ketua Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyifatkan Semenanjung Gaza sebagai ‘tempat paling bahaya di dalam dunia untuk kanak-kanak’.
Berucap pada sidang Majlis Keselamatan PBB kelmarin, Catherine Russell berkata, perjanjian gencatan senjata yang sukar antara Israel dan Hamas belum cukup untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak di wilayah bergolak itu.
Sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu, seramai 5,300 kanak-kanak dilaporkan terbunuh di Gaza iaitu sekitar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan nyawa yang terkorban.
“Ini merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Russell.
Russell juga menyatakan, beliau ‘dihantui’ keresahan apabila melihat apa yang berlaku semasa kunjungannya ke selatan Gaza baru-baru ini.
“Penggunaan pelbagai senjata api dalam perang ini menyebabkan kanak-kanak di Gaza berada dalam risiko yang ekstrem akibat hidup yang amat daif,” ujarnya.
Pada masa sama, Russell mengulangi penegasannya agar petugas-petugas kemanusiaan diberikan jaminan akses keselamatan ke Gaza.