NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini dilihat semakin hilang taringnya dan mulai tidak relevan apabila seringkali gagal menangani banyak krisis dan konflik kritikal dunia dengan Amerika Syarikat (AS) seakan mengawal keputusannya.
Menurut kolumnis Bloomberg Opinion’s, Andreas Kluth, PBB tidak lama lagi mungkin akan menemui nasib pendahulunya, Liga Bangsa-Bangsa yang dilihat tidak berfungsi pada tahun 1930-an dan akhirnya dibubarkan sejurus selepas Perang Dunia Kedua.
SEMAKIN TIDAK RELEVAN
Tindakan sebenar di PBB adalah dalam Majlis Keselamatan, badan lima anggota tetap dan 10 anggota bergilir yang boleh menghantar tentera untuk menjaga keamanan di tempat-tempat bermasalah.
Tetapi Perhimpunan Agung PBB kini menjadi ‘medan gusti versi diplomatik’ antara negara demokrasi Barat dalam kalangan lima kuasa veto iaitu AS, United Kingdom (UK) dan Perancis menentang paksi autokratik Russia dan China.
Minggu lalu, AS mencadangkan resolusi yang mengutuk keganasan Hamas dan mengesahkan hak semua negeri untuk mempertahankan diri.
Ia menuntut pembebasan tebusan dan juga menggesa ‘jeda kemanusiaan’ untuk melindungi orang awam tetapi tidak disokong Russia, China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Satu jam selepas Israel memperluaskan serangan di Gaza, usul yang dikemukakan oleh Jordan diluluskan di New York dengan mendapat 120 undian berbanding 14 yang menentang, serta 45 negara lain berkecuali.
Keputusan itu secara tidak langsung menunjukkan sokongan langsung daripada negara kuasa besar, termasuk Perancis, United Kingdom (UK) dan Sepanyol yang enggan menyertai Washington.
Menjelang undian usul tersebut, Jordan berikrar untuk memaksimumkan sokongan terhadap Palestin dengan menggesa gencatan senjata dilakukan segera, selain menyokong supaya semua tebusan dibebaskan dengan selamat.
Namun, Kanada yang mendapat sokongan AS menyatakan usul Jordan itu tidak menyeluruh kerana negara berkenaan tidak menyebut nama Hamas, sebaliknya mengecam semua serangan dan keganasan terhadap rakyat Palestin serta penduduk Israel.
Apabila Kanada membuat pindaan usul dengan menyebut Hamas dan penduduk Israel yang dijadikan tebusan, usul itu mendapat 88 undian berbanding 55 dengan 27 negara Eropah menyokongnya.
Usaha mencipta usul bertukar tangan namun selepas lebih tiga minggu konflik Israel-Hamas tidak langsung terarah kepada jalan penyelesaian sebaliknya bertambah buruk sehingga kem pelarian menjadi sasaran dan dunia hanya mampu memerhatikan puluhan nyawa penduduk Gaza terkorban setiap hari.
RASA TIDAK PERCAYA
PBB yang berada di San Francisco sejurus selepas Perang Dunia II, sepatutnya menjadi sebuah institusi yang baharu dan lebih baik.
Tetapi kali ini AS, hegemoni yang jelas dalam perintah selepas perang seakan kekal mengawasinya.
Perang Dingin menjadikan keadaan lebih sukar namun idea keselamatan kolektif yang bermula dari era Wilsonianisme kepada PBB mempunyai peluang.
Pada tahun 1950, rakyat Korea Utara menyerbu semenanjung selatan dan China masih diwakili oleh Nasionalis China yang pada masa itu berada di Taiwan dalam Majlis Keselamatan, menyebabkan Soviet memboikot mesyuarat berkenaan hingga tidak boleh menggunakan kuasa veto mereka.
Dalam ketiadaan Soviet, badan itu memberi kuasa kepada pasukan PBB diketuai oleh AS tetapi termasuk 14 negara lain untuk membebaskan Korea Selatan.
Hari ini, campur tangan sedemikian tidak dapat dilakukan seperti mana ketika Russia menyerang sebuah lagi anggota PBB, Ukraine hingga lah amukan Hamas mencetus serangan balas dendam oleh Israel yang menyaksikan orang awam Gaza menjadi mangsa.
Diakui, PBB masih memainkan peranan penting dalam pelbagai usaha lain.
Norma dan konvensyennya mengawal segala-galanya, daripada telekomunikasi antarabangsa kepada pelayaran dan agensi bantuannya bekerja keras untuk mengurangkan korban konflik dan bencana di Gaza.
Tetapi dalam masa krisis seperti sekarang, Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan menyaksikan semua orang tidak mempercayai satu sama lain hingga usaha mencari kata sepakat menjadi sangat mustahil.
Apabila Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengutuk keganasan Hamas tetapi menambah bahawa serangan itu tidak berlaku tanpa sebab, wakil Israel, Gilad Erdan melenting malah menuntut beliau meletak jawatan.
Keadaan ini menunjukkan PBB semakin sukar untuk memegang kuasa legitimasi, malah dunia kini semakin hampir memasuki satu lagi zaman negara-negara yang tidak bersatu, era apabila anarki semata-mata menguasai dunia.-AGENSI