DEIR AL-BALAH: Di dalam unit rawatan rapi di Hospital al-Aqsa, seorang kanak-kanak lelaki melihat bapa saudaranya dan minta mengambilkan jus.
Bapa saudaranya, Ibrahim Abu Asheh menurut permintaan anak buahnya dan mengambilkan kanak-kanak itu jus.
Jus merupakan perkataan pertama yang diungkapkan oleh Ahmad Ibrahim Shabat yang berusia tiga tahun sejak kedua-dua kakinya kudung dalam serangan udara tentera Israel pada awal minggu ini.
“Ahmad tidak tahu apa sebenarnya berlaku pada kaki dia dan dia asyik minta saya bawanya keluar.
“Dia juga terpaksa menanggung kesakitan dan hospital hanya mampu memberikan paracetamol kerana ubatan lain sudah habis,” katanya.
Lebih menyayat hati, seluruh keluarganya terkorban ketika tentera Israel mula melancarkan serangan di Gaza pada awal Oktober lalu.
“Saya menelefon kakak saya, Diana dan dia memberitahu mereka sudah sedia untuk berpindah.
“Sebaik sahaja saya hendak meletak telefon, saya terdengar bunyi letupan kuat dan mereka semua terkorban.
“Ibu bapa Ahmad, abangnya, bapa dan ibu saudara serta datuknya meninggal dunia dalam serangan itu,” ujar Ibrahim
Ahmad terselamat dalam serangan itu dan dibawa ke Hospital Indonesia sebelum bapa saudaranya membawa dia pulang ke pusat perlindungan sementara.
Mereka kemudiannya terpaksa berpindah sekali lagi akibat bedilan udara tentera Zionin dan kali ini, keluarga itu menetap di sebuah sekolah.
Tragedi menimpa Ahmad berlaku pada 13 November lalu apabila kanak-kanak itu dan adik Ibrahim, Saleh Abu Amsheh keluar pergi ke kedai sebelum tentera Israel tiba-tiba mengebom kawasan berkenaan, menyebabkan Ahmad kehilangan kakinya serta-merta, selain Saleh disahkan terkorban.
Kini, Ahmad tidak lagi seperti dulu, dia menjadi pendiam dan kadang kala menangis akibat kesakitan, selain masih tidak faham apa yang menimpa ibu dan bapanya.