David Cameron ikrar sokong PM Britain selepas buat 'comeback'

David Cameron ikrar sokong PM Britain selepas buat ‘comeback’

DAVID CAMERON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Menteri Luar baharu Britain, David Cameron berikrar untuk terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Rishi Sunak ketika negara berdepan waktu-waktu yang sukar.

Cameron menyuarakan hasrat itu selepas membuat comeback dalam kerajaan menerusi rombakan Kabinet secara besar-besaran.

Lapor BBC, Cameron yang merupakan bekas perdana menteri, dilantik sebagai Menteri Luar dan menerima gelaran bangsawan untuk mengambil alih jawatan tersebut.

Cameron menggantikan tempat James Cleverly yang kini dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri selepas Sunak memecat Suella Braverman.

Braverman dipecat berikutan beberapa siri spekulasi mengenai masa depannya termasuk mencetus kemarahan di Downing Street selepas mengkritik cara polis mengendalikan protes pro-Palestin di London.

Cameron mengakui ia bukan perkara biasa bagi bekas perdana menteri untuk membuat comeback.

Malah, katanya, ketika negara berdepan `cabaran sengit’ di Asia Barat dan Ukraine, beliau berharap agar pengalamannya sebagai perdana menteri dapat membantu kerajaan Sunak.

“Saya memutuskan untuk menyertai pasukan ini kerana saya percaya Rishi Sunak merupakan perdana menteri baik yang melakukan kerja penuh mencabar pada waktu sukar.

“Saya mahu menyokong dan berada bersama beliau,” katanya.

Terdahulu, Pejabat Kementerian Luar Britain dalam satu kenyataan memaklumkan Cameron mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken.

Jelasnya, kedua-dua pemimpin itu berbincang mengenai konflik di Asia Barat, hak Israel untuk mempertahankan diri dan keperluan `jeda kemanusiaan’ bagi membolehkan bantuan masuk ke Gaza dengan selamat.

Malah, mereka turut menyatakan sokongan mereka kepada Ukraine, selain mengulangi hubungan bilateral yang kukuh antara UK dan AS.

Sementara itu, Reuters melaporkan Jabatan Negara AS memaklumkan bahawa Blinken dan Cameron menekankan kesinambungan dalam hubungan AS-UK.

Malah, jelas laporan itu, kedua-dua negara juga menekankan kepentingan terhadap keselamatan serantau dan global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya