JAKARTA: Dua calon Presiden Indonesia 2024 menyeru Joko Widodo (Jokowi) untuk kekal neutral menjelang pilihan raya tahun depan di tengah-tengah kritikan umum kononnya pemimpin itu mungkin cuba mengekalkan kuasanya selepas tamat penggalnya.
Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo menggesa Jokowi mengekalkan sikap berkecuali menjelang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) yang akan diadakan pada 14 Februari tahun lalu.
“Kami sering berjumpa dengan orang sayangkan presiden dan mereka menyampaikan mesej iaitu beliau perlu kekal neutral,” kata Anies selepas makan tengah hari bersama Jokowi dan calon presiden lain.
Jawatan nombor satu republik itu turut ditandingi oleh Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto yang akan bertanding bersama anak Jokowi, Gibran
Rakabuming Raka.
Sebelum ini, aktivis demokrasi dan politik menyuarakan kebimbangan terhadap langkah Jokowi yang dikatakan cuba untuk kekal berkuasa dan membina dinasti politik.
Hal itu demikian selepas keputusan mahkamah baru-baru ini mengubah kriteria kelayakan sekali gus membenarkan anak sulung Jokowi menjadi pasangan calon naib presiden Prabowo.
Para penganalisis berpandangan gerakan politik itu berisiko memupuk politik dinasti dan naungan di negara yang mempunyai pemerintahan autoritarian selama 32 tahun sehingga 1998.
Walaupun Jokowi secara terbuka memaklumkan tidak akan campur tangan dalam urusan pilihan raya, pemimpin itu dikatakan secara diam-diam menyokong Prabowo.
Malah, beliau juga dikatakan menggerakkan penyokongnya untuk berkempen bagi calon dan menggandingkan anaknya dengan bekas pesaingnya.
Kelmarin, Jokowi mengarahkan pemimpin tempatan untuk kekal neutral dalam pilihan raya berkenaan.
Menurut penganalisis, presiden itu bebas menyokong mana-mana calon dan dengan penilaian kelulusan tinggi, adalah penentu dalam pilihan raya. – REUTERS