LONDON: Satu laporan mendakwa pekerja sektor kesihatan dari luar negara mungkin akan dihadkan untuk membawa hanya seorang ahli keluarga bersama mereka ke Britain, dibawah pelan baharu untuk menangani isu migrasi.
Usul itu didedahkan menjelang pengumuman data penghijrahan bersih terkini, yang dijangka mencatatkan rekod tertinggi bagi tempoh enam bulan tahun ini.
Lapor Daily Mail, penghijrahan bersih mencapai rekod tertinggi iaitu 606,000 orang pada tahun lalu.
Justeru, data penghijrahan bersih terkini yang bakal diumumkan dijangka boleh mencecah sehingga 700,000 orang.
Penghijrahan bersih merangkumi bilangan individu tiba di United Kingdom (UK), dengan tidak mengambil kira mereka yang meninggalkan negara.
Menurut laporan The Times, tindakan keras terhadap jumlah tanggungan pekerja warga asing akan menjadi sebahagian respon menteri dalam data terbabit.
Berdasarkan laporan akhbar itu, sebanyak 282,742 visa pekerja dalam sektor kesihatan dan penjagaan dikeluarkan oleh UK sepanjang enam bulan tahun ini.
Jumlah itu menunjukkan 172 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Malah, lebih separuh daripada jumlah dokumen visa itu, iaitu sebanyak 151,774 visa dikeluarkan kepada tanggungan pekerja asing itu.
Angka juga menunjukkan warganegara tertentu seperti warga Nigeria dan India membawa lebih ramai ahli keluarga bersama mereka berbanding pekerja asing lain.
Sepanjang tempoh enam bulan tahun ini, seramai 35,091 petugas kesihatan dari India membawa sejumlah 47,432 orang tanggungan.