KAHERAH: Perang yang berlaku antara Palestin dengan Israel sejak 7 Oktober lalu bukan sahaja menyaksikan seluruh dunia mengecam Zionis, malah turut memboikot produk keluaran negara haram tersebut.
Negara Asia Barat juga tidak ketinggalan melakukan kempen memboikot barangan Barat dan Israel dan mereka menegaskan, tindakan itu akan diteruskan selagi Zionis terus menyerang dan membunuh penduduk Gaza.
Antara negara Arab yang aktif melakukan boikot itu termasuk Jordan, Mesir, Kuwait dan Maghribi.
Di Mesir, kebanyakan restoran makanan segera terkenal, McDonald’s kelihatan lengang dengan pekerjanya ‘tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang mereka’.
“Mungkin boikot ini tidak boleh gantikan balik nyawa yang terbunuh di Gaza, namun ini adalah antara langkah yang boleh penduduk dunia lakukan untuk tekan Israel dan sekutunya,” kata penduduk Mesir, Reham Hamed.
Di Jordan, situasi serupa juga berlaku apabila orang ramai tidak memasuki McDonald’s dan Starbucks, menyebabkan premis perniagaan itu lengang.
“Ramai yang tidak mahu beli produk berkaitan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, masyarakat memilih barangan tempatan,” kata seorang juruwang di pasar raya di Amman, Ahmad al-Zaro.
Selain itu, di Kuwait City, restoran KFC, McDonald’s dan Starbuck sangat lengang dengan jumlah pengunjung boleh ‘dikira dengan jari’.
Pekerja Starbucks di Kuwait memaklumkan, produk keluaran AS yang lain turut terjejas apabila tiada orang mahu membelinya dan menjangkakan mengalami kerugian besar.
“Tidak pernah kami hadapi situasi seperti ini, premis kami lengang, selalunya kami tidak menang tangan melayan pelanggan,” katanya yang enggan mendedahkan identiti.
Dalam pada itu di Rabat, Maghribi, seorang lagi pekerja Starbucks mengakui jumlah pengunjung pada minggu ini merudum dan terlalu sedikit.
Jelasnya, boikot yang dilakukan seluruh dunia mula memberi kesan sedikit demi sedikit.