Berpantang maut sebelum ajal, penduduk Gaza kental teruskan

Berpantang maut sebelum ajal, penduduk Gaza kental teruskan hidup walau serba kekurangan

PULUHAN keluarga di Gaza terpaksa meninggalkan rumah mereka kerana pengeboman Israel.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Walaupun diserang tentera Israel bertubi-tubi, penduduk Gaza tidak berputus asa malah tetap kentalkan hati mereka menjalani kehidupan dalam serba kekurangan.

Beratur mendapatkan bekalan roti dan air bersih setiap hari sudah menjadi rutin harian penduduk Palestin kerana kekejaman rejim Zionis seakan sudah sebati dalam kehidupan mereka sejak lebih 75 tahun yang lalu.

USAHA TERUSKAN HIDUP

Di dalam pasar raya, rak kosong menjadi perkara biasa selepas Israel mengenakan kepungan menyeluruh di wilayah itu dengan menyekat bekalan air, makanan, bahan api dan elektrik selain mengehadkan akses kepada sambungan rangkaian telekomunikasi.

Namun, jalan-jalan di Gaza City belum terbiar sepi walaupun berselerak dengan runtuhan bangunan yang musnah.

Penduduk masih gigih menjalankan tugas mereka mencari keperluan asas seperti air bersih dan beratur panjang di kedai roti mendapatkan bekalan untuk dibawa pulang kepada ahli keluarga yang menanti kelaparan di tempat perlindungan.

Yang lain mencari tong gas untuk digunakan memasak makanan kepada orang ramai dan beberapa penduduk dilihat meletakkan barangan mereka di tepi jalan untuk dijual.

Gambaran yang dilihat jelas menunjukkan penduduk Gaza menyedari mereka perlu meneruskan hidup dan menggagahkan diri walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran besar.

Menurut pejabat media kerajaan di Gaza, lebih 18,000 tan bahan letupan dijatuhkan di wilayah yang disekat sejak permulaan serangan Israel.

“Selama tiga minggu lalu, setiap kilometer di dalam Semenanjung Gaza menerima kira-kira 50 tan bahan letupan,” katanya.

Menurut pihak berkuasa Palestin, lebih 8,500 rakyat Palestin terbunuh termasuk 3,500 kanak-kanak.

Sementara itu, sekitar 1,870 orang lagi hilang di bawah runtuhan, antaranya termasuk 1,020 kanak-kanak.

DUNIA MEMERHATI

Pesuruhjaya Tinggi Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Filipo Grandi yang merayu kepada anggota Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk menuntut gencatan senjata di Gaza menegaskan dunia sedang menunggu badan paling berkuasa itu untuk bertindak.

“Kami meratapi hakikat bahawa mengabaikan peraturan asas perang sudah mula menjadi perkara biasa dan bukannya pengecualian.

“Dua juta penduduk Gaza, separuh daripadanya kanak-kanak akan melalui ‘neraka di bumi’.

“Gencatan senjata kemanusiaan sekurang-kurangnya dapat menghentikan lingkaran kematian ini dan saya berharap PBB akan mengatasi perpecahan dan menggunakan kuasanya kerana satu dunia sedang menunggu mereka untuk berbuat demikian,” tegasnya.

Grandi menegaskan bahawa gencatan senjata akan menjadi peringkat awal dalam memulihkan laluan ke arah penyelesaian konflik yang berlarutan antara Israel dan Palestin.

“Selama bertahun-tahun, saya memerhatikan bagaimana penyelesaian konflik Israel-Palestin sentiasa digambarkan sebagai sukar difahami.

“Tetapi ia sebenarnya tidak sukar difahami sebaliknya sengaja diabaikan berulang kali dan diketepikan sebagai sesuatu yang tidak perlu lagi malah hampir dipersendakan.

“Justeru, menghentikan kebangkitan semula keganasan yang kronik, diikuti dengan gencatan senjata sementara disifatkan lebih berfaedah daripada memberi tumpuan kepada hak, pengiktirafan, keselamatan dan kenegaraan yang layak kepada Israel dan Palestin,” tegasnya.

Dalam pada itu, kerajaan Bolivia memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel kerana melakukan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Chile dan Colombia dilaporkan turut memanggil semula duta mereka ke Israel selepas dua negara itu mengkritik serangan rejim Zionis terhadap Hamas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya