WASHINGTON: Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Henry Kissinger, yang terkenal kerana kerap menonjolkan negara itu sebagai kuasa besar dunia, meninggal dunia pada usia 100 tahun, menurut firma perundingnya.
“Dr Henry Kissinger, seorang tokoh cendikiawan terhormat AS, meninggal dunia hari ini di rumahnya di Connecticut,” umum Kissinger Associates dalam satu kenyataan.
Difahamkan, anggota keluarga mendiang akan mengadakan upacara pengebumian secara tertutup, disusuli dengan upacara memperingatinya selepas itu di New York.
Pengumuman itu tidak menyebut mengenai sebab kematian dan Kissinger kekal aktif walaupun ketika sudah berusia lanjut, dengan berkunjung ke China Julai lalu bagi menemui Presiden China, Xi Jinping.
China adalah salah satu legasi paling lama Kissinger, yang mana beliau berharap dapat meningkat kelebihan dalam Perang Dingin menentang Kesatuan Soviet (kini Russia), dengan menjalin hubungan bersama China.
Tindakan Kissinger secara rahsia berhubungan dengan China menyaksikan lawatan bersejarah Presiden Nixon pada 1972 ke China, yang menjadi asas terjalinnya hubungan dengan Beijing.
Selepas skandal Watergate yang menjatuhkan Nixon, Kissinger berkhidmat di bawah penggantinya, Gerald Ford, di mana beliau memegang dua jawatan iaitu sebagai Setiausaha Negara dan Penasihat Keselamatan, sesuatu yang jarang berlaku.
Kissinger dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel kerana peranannya dalam rundingan damai menamatkan Perang Vietnam, walaupun konflik itu berterusan dan wakil pihak Vietnam Utara, Le Duc Tho, enggan menerima hadiahnya.
Walaupun Kissinger terkenal dengan kemahiran intelek, beliau juga dikenali sebagai seorang yang penuh kontroversi dan tiada belas kasihan di arena politik, baik oleh kawan atau lawannya, ketika beliau menggunakan kuasanya untuk mencarta kepentingan politik AS.
Dokumen yang kini tidak lagi diklasifikasikan sebagai sulit menunjukkan, Kissinger mengarahkan penggulingan Presiden Chile berfahaman Marxist yang dipilih, Salvador Allende dan kemudian, rampasan kuasa pada 1973 menjatuhkan Jeneral Augusto Pinochet.
Kissinger juga menyokong Indonesia, negara sekutu anti komunis, apabila ia menawan Timor Leste pada 1975.
Beliau juga ‘membutakan mata’ terhadap kekejaman besar-besaran Pakistan apabila Bangladesh meraih kemerdekaan pada 1971, dengan harapan mendapat sokongan Islamabad dalam menjalin hubungan baik dengan China. – AFP