ISTANBUL: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan terdapat bukti kukuh untuk mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berdasarkan kekejaman yang dilakukan rejim itu terhadap penduduk Palestin.
Katanya, Turkiye akan melakukan semua usaha untuk memastikan jenayah perang di Gaza dan seluruh Palestin oleh Zionis akan diadili secara adil.
“Tidak perlu banyak cakap kerana terdapat bukti kukuh menunjukkan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
“Kita tengok sahaja keadaan di Gaza ketika ini, siapa yang buat? Sudah tentu Israel,” kata Erdogan.
Erdogan turut mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang kini berdepan penentangan daripada ahli Kabinetnya sendiri.
Jelas beliau, Netanyahu semakin ‘hilang arah’.
“Kami akan singkirkan dian mudah-mudahan, Israel akan hapuskan dia dan semua orang Yahudi menolak pentadbirannya.
“Ketika ini, boleh dikatakan lebih separuh penduduk Israel menolak Netanyahu dan perkara itu jelas,” ujarnya.
Selain itu, Erdogan sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa negara ini sentiasa menyokong rakyat Palestin yang dizalimi di Gaza dan tidak akan berhenti melakukannya.
Katanya, biarpun Israel sengaja menghalang bantuan masuk ke Gaza dan membiarkan wilayah bergolak itu dalam keadaan amat daif, Turkiye tidak akan berputus asa.
“Walau apa pun halangan, kami akan terus memastikan Gaza terus hidup. Seluruh dunia, khususnya negara Islam, harus menggembleng tenaga untuk memberikan bantuan,” katanya.