BEIJING: Sekurang-kurangnya 26 orang maut dan puluhan lagi terpaksa dihantar ke hospital selepas cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah bangunan di wilayah Shanxi, utara China.
Lapor media kerajaan, pihak berkuasa tempatan memaklumkan kebakaran bermula di sebuah bangunan empat tingkat dipercayai milik syarikat arang batu Yongju di bandar Luliang kira-kira pukul 6.50 pagi, semalam.
Agensi berita Xinhua melaporkan seramai 26 orang disahkan meninggal dunia.
Terdahulu, penyiar CCTV memaklumkan sekurang-kurangnya 63 orang berjaya dibawa keluar dan 51 daripadanya dimasukkan ke hospital.
Laporan tidak menyatakan sama ada mangsa yang dibawa ke hospital meninggal dunia.
“Kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” lapor CCTV.
Satu lagi laporan menyatakan kebakaran tersebut berjaya dikawal.
Rakaman video disiarkan di laman Weibo menunjukkan api marak dan kepulan asap hitam keluar dari bangunan, manakala puluhan orang berada di parkir menyaksikan kebakaran itu.
Bangunan yang ditunjukkan dalam vidoe sepadan dengan imej ibu pejabat syarikat arang batu yang disiarkan di laman sesawangnya. – AFP