WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan pihaknya tidak sama sekali menyokong penjajahan tentera Israel di Semenanjung Gaza selepas konflik antara Isreal dan Hamas berakhir.
Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap keselamatan negara White House, John Kirby.
Lapor Al Jazeera, Kirby memaklumkan Biden berpandangan tindakan Israel yang mahu melakukan penjajahan semula di Gaza adalah sesuatu yang tidak betul.
Komen itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesyorkan supaya rejim zionis itu mengawal keselamatan di Gaza selepas perang tamat.
Netanyahu dalam satu temubual dengan ABC News memaklumkan Israel akan bertanggungjawab ke atas keselamatan untuk `suatu tempoh yang tidak ditentukan’.
Sementara itu, Kirby berkata, perbincangan mengenai situasi di Gaza dan tadbir urus selepas pasca konflik perlu diadakan.
“Apa yang kami bersetuju dengan pihak Israel adalah ia tidak seharusnya kelihatan seperti pada 6 Oktober lalu,” katanya.
Sebelum ini, Biden pernah menyifatkan tindakan Israel itu merupakan satu kesilapan besar.
Berdasarkan Kementerian Kesihatan Gaza, pengeboman Israel di Gaza mengakibatkan sekurang-kurangnya 10,328 orang terbunuh.
Jumlah mangsa yang maut turut merangkumi 4,237 kanak-kanak.