AS lulus AS$14.5 bilion bantu tentera Israel lawan Hamas

AS lulus AS$14.5 bilion bantu tentera Israel lawan Hamas

MIKE Johnson (dua dari kiri) diiringi pegawainya di bangunan Capitol di Washington.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan pakej bantuan ketenteraan berjumlah hampir AS$14.5 bilion (RM68.71) kepada Israel untuk menentang Hamas tanpa menyelitkan sebarangn dana kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Pakej yang dibentangkan Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson itu dilihat turut menimbulkan cabaran kepada pentadbiran Demokrat dan Presiden, Joe Biden kerana memerlukan bantuan kecemasan diimbangi dengan pemotongan perbelanjaan kerajaan di sektor lain.

Biden berkata, beliau akan veto rang undang-undang yang diluluskan melalui undian 226 berbalas 196 dengan 12 ahli Demokrat turut menyertai majoriti anggota Republikan dalam undian itu.

Johnson berkata, pakej dari Republikan itu akan memberikan Israel bantuan yang diperlukan untuk mempertahankan diri, membebaskan tebusan yang dipegang Hamas dan menentang kumpulan pejuang Palestin.

Jelasnya, pakej itu juga berusaha untuk memastikan perbelanjaan yang bertanggungjawab dan mengurangkan saiz kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, ahli Demokrat berkata, pendekatan itu hanya akan menangguhkan bantuan untuk Israel sementara pemimpin majoriti Senat Demokrat, Chuck Schumer memberi amaran bahawa rang undang-undang yang ‘sangat tidak serius’ itu tidak mempunyai peluang di Senat.

Usaha perundangan besar pertama dalam Kongres untuk menyokong Israel itu juga tidak memenuhi permintaan Biden yang mahukan peruntukan dana sekitar AS$106 bilion (RM502.38 bilion) bagi menyokong Ukraine memerangi Russia termasuk usaha menentang China dan menangani keselamatan di sempadannya dengan Mexico.

Biden dilaporkan turut meminta kira-kira AS$9 bilion (RM42.6 bilion) untuk tindak balas terhadap krisis kemanusiaan antarabangsa, termasuk di Semenanjung Gaza.

Johnson sebaliknya hanya membawa rang undang-undang melibatkan Israel untuk sesi pengundian malah menegaskan bantuan kepada sekutu AS yang lain termasuk Ukraine perlu dibincangkan kemudian.

White House turut memberi amaran pendekatan Johnson gagal memenuhi keperluan mendesak pada masa ini dan menetapkan situasi berbahaya kerana dana kecemasan itu memerlukan pemotongan belanjawan lain.

Walaupun jumlah dana untuk Israel dalam rang undang-undang Dewan Perwakilan sama seperti yang dimohon Biden, White House berkata, kegagalan rancangan Republikan memasukkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza adalah kesilapan besar ketika krisis semakin memuncak.

“Rang undang-undang ini akan melanggar pendekatan biasa dan dwipartisan untuk menyediakan bantuan kecemasan keselamatan negara.

“Pendirian Republikan akan mempunyai implikasi yang dahsyat untuk keselamatan dan pakatan kita pada tahun-tahun akan datang,” jelas White House dalam satu kenyataan.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya