AS komited perangi Islamofobia, penduduk Islam kurang yakin dengan Biden

AS komited perangi Islamofobia, penduduk Islam kurang yakin dengan Biden

JOE BIDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dilaporkan giat membangunkan strategi nasional untuk memerangi Islamofobia.

Keputusan itu dibuat ketika White House berdepan keraguan ramai warganya yang beragama Islam berikutan sokongan padu negara itu terhadap serangan tentera Israel ke atas Hamas di Gaza.

Rancangan untuk melaksanakan inisiatif yang disifatkan pertama seumpamanya diumumkan oleh Setiausaha Akhbar, White House, Karine Jean-Pierre kelmarin.

“Ia bertujuan untuk menyatukan penggubal undang-undang, kumpulan advokasi serta pemimpin masyarakat lain dengan pentadbiran untuk menentang momokan Islamofobia dan kebencian dalam semua bentuknya.

“Melangkah ke hadapan, Presiden, Naib Presiden, dan seluruh pentadbiran kami akan terus berusaha untuk memastikan setiap rakyat AS mempunyai kebebasan untuk menjalani kehidupan mereka dengan selamat tanpa rasa takut tentang cara mereka berdoa, apa yang mereka percaya, dan siapa mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Inisiatif baharu itu dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk diformalisasikan, berikutan proses serupa dengan rancangan untuk menentang antisemitisme yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan.

Insiden kebencian anti-Yahudi dan anti-Islam melonjak di AS dan di luar negara sejak konflik Israel-Hamas tercetus 7 Oktober lalu.

Salah satu insiden didorong Islamofobia yang paling mendapat perhatian di AS ialah serangan terhadap penduduk Islam Wadea Al-Fayoume dan ibunya yang menyebabkan kanak-kanak berusia 6 tahun itu terbunuh di Illinois.

Ramai dalam kalangan umat Islam di AS menekankan keperluan strategi nasional untuk menentang Islamofobia tetapi pendirian negara itu terhadap perang Israel-Hamas menjadikan perlaksanaannya lebih rumit.

“Kami merasakan usaha itu akan mati begitu sahaja melainkan Biden mengutuk kekejaman Israel dan pentadbirannya lebih agresif menyeru jenayah kebencian yang menyasarkan orang Islam serta Arab Amerika.

“Kami juga mahu Biden memohon maaf atau sekurang-kurangnya menjelaskan secara terbuka tentang komennya baru-baru yang tidak yakin dengan kiraan jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan balas Israel,” kata Pengasas Inner City Muslim Action Network Chicago, Rami Nashashibi.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya