GAZA CITY: Angka kematian penduduk Palestin akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 11,320 orang.
Lapor Agensi Anadolu, data itu didedahkan oleh pejabat media kerajaan dalam satu kenyataan.
“Mangsa terkorban termasuk 4,650 kanak-kanak dan 3,145 wanita, manakala 29,200 lagi cedera,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan, sekurang-kurangnya 3,600 orang lagi masih gagal dikesan.
Jelasnya, jumlah itu turut membabitkan seramai 1,755 kanak-kanak.
“Seramai 198 pegawai perubatan, 22 anggota pertahanan awam dan 51 wartawan dilaporkan terbunuh dalam serangan itu.
“Serangan Israel itu juga mengakibatkan sebanyak 25 hospital dan 52 pusat penjagaan kesihatan tidak dapat beroperasi, manakala 55 ambulans pula menjadi sasaran tentera zionis,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, pejabat media kerajaan mengesahkan seramai 40 pesakit meninggal dunia di Hospital Al-Shifa dalam tempoh lima hari lalu, di tengah-tengah serangan Israel dan kekurangan bahan api.
“Kira-kira 82 orang dikebumikan di dalam kubur besar di dalam kompleks perubatan disebabkan pendudukan yang masih mengepung hospital sepenuhnya,” katanya.